Polis tahan 29,479 individu terlibat jenayah komersial - Utusan Malaysia

Polis tahan 29,479 individu terlibat jenayah komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 29,479 individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini kerana terbabit dalam pelbagai jenayah komersial.

Jumlah tangkapan itu meningkat sebanyak 15.88 peratus berbanding 25,440 individu dalam tempoh sama tahun lalu iaitu pertambahan sebanyak 4,039 tangkapan.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, peningkatan jumlah tangkapan itu turut menyumbang kepada kenaikan jumlah pertuduhan sebanyak 52 peratus kepada 21,342 berbanding 14,041 dalam tempoh sama tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah pertuduhan me­ningkat sebanyak 7,301, iaitu daripada 14,041 kepada 21,342 pertuduhan,” katanya kepada media semalam.

Katanya, peningkatan itu mencerminkan usaha berterusan jabatan memperkukuh pengumpulan risikan, operasi tangkapan, siasatan dan dakwaan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, jumlah kerugian akibat enam kategori utama penipuan dalam talian mencatatkan penurunan sebanyak 28 peratus kepada RM1.56 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM2.16 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah kes penipuan dalam talian meningkat kepada 56,802 kes berbanding 54,473 kes tahun lalu.

“Walaupun jumlah kes meningkat, keseluruhan kerugian bagi kategori ini menurun daripada RM2.16 bilion kepada RM1.56 bilion, iaitu pengurangan sebanyak 28 peratus,” jelasnya.

Menurutnya, penurunan paling ketara direkodkan bagi kes penipuan pelaburan tidak wujud apabila jumlah kes berkura­ngan sebanyak 18 peratus kepada 6,537 berbanding 7,951 kes.

Jumlah kerugian bagi kategori itu turut menyusut sebanyak 52 peratus kepada RM600.37 juta berbanding RM1.25 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, katanya, jenayah telekomunikasi mencatatkan penurunan sebanyak 16 peratus kepada 19,625 kes berbanding 23,396 kes manakala jumlah kerugian berkurangan sebanyak 22 peratus kepada RM480.13 juta.

Bagaimanapun, kerugian akibat jenayah kewangan elektronik melonjak 235 peratus kepada RM280.72 juta berbanding RM83.71 juta, meskipun jumlah kes bagi kategori itu menurun sebanyak lapan peratus.

Kes penipuan e-dagang pula merekodkan peningkatan tertinggi dari segi jumlah kes antara enam kategori utama penipuan dalam talian, iaitu sebanyak 56 peratus kepada 17,635 kes.

Secara keseluruhan kata Rusdi, sebanyak 64,951 kes jenayah komersial direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat sebanyak 5.55 peratus berbanding 61,538 kes tahun lalu.

Jumlah kerugian akibat jenayah komersial turut meningkat sebanyak 30.95 peratus kepada RM5.25 bilion berbanding RM4.01 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini