SEREMBAN: Hiasan tanglung sempena Tahun Baharu Cina tetap laris dijual walaupun berlaku sedikit peningkatan harga berbanding sebelum ini.
Menurut Lim Choi Hui, 35, dari Taman Rasah Jaya, meskipun harga naik, dia tetap membelinya kerana ia hiasan wajib sempena perayaan itu.
“Begitu juga dengan hiasan skrol yang mengandungi baris puisi terkenal Cina dan juga poster tuhan kekayaan yang ditampal di dinding atau pintu,” katanya ketika ditemui.
Seorang penjual kedai kelengkapan perhiasan di Rahang Kecil di sini, Cheah Shi Min, 26 berkata, kali ini hiasan tanglung dijual pada harga antara RM16 sehingga RM51 berbanding RM16 sehingga RM48 sebelum ini.
“Harga naik sedikit kerana mengambil kira kenaikan kos penghantaran dari China.
“Walaupun harga naik namun permintaan sentiasa ada terutama di musim perayaan ini. Kami juga tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan termasuk di saat-saat akhir ini,” katanya.
Seorang lagi penjual Chuan Yen Ting, 21, memberitahu, kebanyakan pembeli tanglung yang datang ke kedai ibu bapanya itu terdiri dalam kalangan yang sudah berusia.
“Mereka gemar beli secara terus di kedai.
“Tanglung di sini dijual pada harga serendah RM10 bagi yang bersaiz kecil serta menggunakan plastik sehinggalah berharga RM110 iaitu tanglung yang mencecah saiz sehingga 100 sentimeter,” katanya. – UTUSAN










