KEBERKESANAN Belanjawan 2027 perlu dinilai bukan sahaja melalui jumlah peruntukan, tetapi juga sejauh mana langkah yang diumumkan dapat membantu belia membina kehidupan yang lebih stabil dan mengembangkan potensi diri.
Peluasan Dapur Siswa Madani dengan peruntukan RM20 juta, termasuk Menu Kasih Siswa RM5, perlu disokong dengan bekalan makanan berkhasiat yang konsisten.
Begitu juga peruntukan RM800 juta bagi prasarana pendidikan tinggi dan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM750 juta untuk Vista Kampus.
Pelaburan ini perlu diterjemahkan kepada kemudahan yang selamat, selesa dan mudah diakses, tanpa mengabaikan keperluan mahasiswa sementara projek dilaksanakan.
Peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi wajar menyokong pengalaman pembelajaran yang membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan keupayaan membuat pertimbangan.
Mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengemukakan pandangan, mengurus projek dan menyelesaikan masalah. Pengalaman sedemikian membantu mereka mengenali kekuatan diri, memperbaiki kelemahan dan bersedia menghadapi cabaran selepas tamat pengajian.
Inisiatif Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100, tertakluk pada syarat kesukarelawanan, berpotensi menggalakkan penyertaan.
Namun, program seumpama ini perlu dirancang supaya belia bukan sekadar memenuhi syarat untuk menerima insentif, tetapi turut memahami tujuan khidmat masyarakat dan membina hubungan yang bermakna dengan komuniti.
Peralihan daripada alam pengajian kepada pekerjaan juga perlu diberi perhatian. Sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui Bakat Madani perlu diterjemahkan kepada penempatan yang menawarkan pengalaman, pendapatan dan ruang perkembangan kerjaya.
Pengumuman kerangka gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pula memerlukan penjelasan lanjut tentang skop serta pelaksanaannya.
Pekerjaan pertama bukan sahaja mempengaruhi pendapatan belia, malah membentuk keyakinan mereka terhadap nilai pendidikan dan keupayaan merancang masa depan.
Dari sudut kemahiran digital, tambahan 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) percuma serta akses kepada lebih 16,000 kursus dan program sijil profesional melalui Rakyat Digital berpotensi memperluas peluang pembelajaran.
Namun, akses kepada teknologi sahaja tidak mencukupi. Belia perlu dibimbing untuk menyemak kesahihan maklumat, memahami batas penggunaan AI dan menjaga integriti.
Ketersediaan peranti, capaian internet dan bimbingan yang sesuai turut menentukan sama ada peluang ini dapat dimanfaatkan secara saksama.
Keberkesanan pelaburan dalam pembangunan belia akhirnya perlu dinilai berdasarkan perubahan yang berlaku selepas sesuatu program selesai dan selepas mahasiswa tamat pengajian.
Adakah mereka mendapat pekerjaan yang bersesuaian, mampu mengurus kewangan dan terus meningkatkan kemahiran? Adakah belia daripada keluarga kurang berkemampuan memperoleh peluang yang lebih baik?
Penilaian dan penjejakan secara berterusan dapat membantu pihak pelaksana mengenal pasti kesan sebenar program serta memperbaiki kelemahan yang mungkin tidak dapat dilihat melalui jumlah peserta atau sijil yang dikeluarkan semata-mata.
Belanjawan 2027 menyediakan peluang untuk memperkukuh asas kehidupan dan masa depan belia.
Kejayaannya bergantung pada pelaksanaan bantuan yang tepat pada waktunya, peluang yang adil serta program pembangunan yang berkualiti. Belia juga perlu diberikan kepercayaan untuk menyumbang dan terlibat dalam keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. MURSYID ARSHAD
Pensyarah Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan (Kepakaran: Pembangunan Belia)
Dan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar
Universiti Putra Malaysia











