Jenayah komersial meningkat di Sarawak tahun ini

Jenayah komersial meningkat di Sarawak tahun ini

Mancha memeriksa perbarisan sempena perhimpunan bulanan terakhirnya sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak di IPK Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Jenayah komersial mencatatkan peningkatan kes di Sarawak pada tahun ini, iaitu sebanyak 57.67 peratus berbanding tahun lalu dengan 2,622 kes direkodkan sehingga Ogos lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata jenayah siber seperti penipuan e-dagang, pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan Phone Scam menjadi penyumbang utama, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM89.9 juta.

“Antara kejayaan besar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak adalah termasuk menumpaskan tiga sindiket pusat panggilan di Miri dan Sibu, melibatkan 18 tangkapan dan pertuduhan di bawah Seksyen 424A dan 120B Kanun Keseksaan.

“Turut berjaya ditumpaskan ialah sindiket jual beli emas palsu dan penipuan kod QR di Padawan.

“Seramai 1,091 pesalah jenayah komersial telah ditangkap sepanjang tahun ini,” katanya.

Mancha yang akan bersara wajib pada 29 September ini berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan terakhirnya sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Sementara bagi jenayah narkotik, beliau berkata sebanyak 7,799 tangkapan telah dicatatkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini, berbanding 7,489 tangkapan pada tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 248 tangkapan.

Katanya kesemua tangkapan tersebut melibatkan kategori bekalan, memiliki dan urin positif.

“Seramai 448 orang tokan telah berjaya ditangkap dalam tempoh tersebut, dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM23.6 juta, meningkat sebanyak RM11.5 juta berbanding RM12 juta pada tahun lepas,” katanya.

Mancha menambah tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pula menunjukkan penurunan sebanyak 37.5 peratus, dengan 15 tangkapan berbanding 24 orang pada 2024.

Bagi sitaan harta pengedar dadah, beliau berkata sebanyak RM15.8 juta telah dicatatkan berbanding RM3.4 juta pada tahun lepas.

Justeru, Mancha optimis sumbangan aset empat buah kenderaan pacuan empat roda yang baru diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak daripada Kerajaan Sarawak akan memperkukuhkan lagi operasi di kawasan pedalaman dan sempadan Sarawak yang mencabar dari segi geografi dan logistik.

“Aset itu akan digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan, pemantauan dan tindakan operasi di kawasan berisiko tinggi, khususnya di laluan penyeludupan dan lokasi terpencil yang sukar diakses.

“Dengan adanya kenderaan ini, pasukan JSJN Sarawak dapat bertindak balas dengan lebih pantas dan berkesan dalam usaha membanteras jenayah narkotik, selaras dengan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melindungi masyarakat daripada ancaman dadah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN