GEORGE TOWN: Dua pengarah syarikat menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam apabila mendakwa diperdaya sehingga mengalami kerugian sebanyak RM900,000 dalam dua kes berasingan, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam kes pertama, mangsa yang juga seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun mendakwa kerugian sebanyak RM433,230 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai rakan perniagaan dari luar negara.
Katanya, kejadian bermula pada Selasa lalu apabila mangsa mendakwa telah menerima mesej daripada satu nombor antarabangsa yang kononnya merupakan pemegang saham sebuah syarikat di Norway.
“Mangsa kemudian ditawarkan peluang pelaburan pembelian syarikat di Hong Kong dengan suntikan modal sebanyak 108,770 dolar Amerika Syarikat (AS) atau RM436,058,” katanya di sini, hari ini.
Azizee berkata, mangsa kemudian dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel oleh seorang individu lain yang menyamar sebagai wakil peguam dari sebuah firma di London bagi menguruskan perjanjian sulit sebelum bersetuju membuat pindahan wang berjumlah RM433,230.91 ke akaun sebuah syarikat di Hong Kong.
“Bagaimanapun, selepas membuat semakan lanjut, mangsa mendapati urusan tersebut tidak wujud sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, dalam kes kedua berlaku di daerah Seberang Perai Selatan, seorang wanita tempatan berusia 69 tahun kerugian sebanyak RM457,607 selepas menjadi mangsa sindiket yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa.
Kejadian bermula pada 1 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebelum talian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.
“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta memaklumkan kononnya waran tangkap telah dikeluarkan. Mangsa kemudian diarah menyerahkan wang simpanannya bagi tujuan siasatan dengan jaminan wang tersebut akan dipulangkan semula.
“Mangsa seterusnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM168,477 pada 11 Mac dan RM289,130 pada 13 Mac di sekitar Taman Tambun Indah kepada individu tidak dikenali. Namun, selepas diminta menyerahkan wang tambahan, mangsa mula menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Azizee berkata, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. – UTUSAN










