GEORGE TOWN : Seorang kerani insurans mendakwa kerugian sebanyak RM601,850 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, laporan polis berhubung kes itu diterima daripada mangsa iaitu seorang wanita berusia 61 tahun oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, semalam.
Menurut Azizee, pada mulanya, mangsa mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai bank dan memaklumkan bahawa terdapat transaksi kad kredit atas nama wanita tersebut.
“Panggilan berkenaan kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Suspek (lelaki yang mendakwa pegawai polis itu) memaklumkan bahawa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan meminta semua butiran akaun bank miliknya untuk tujuan siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Azizee berkata, mangsa seterusnya diarahkan supaya membuat pemindahan wang ke beberapa akaun tempatan yang diberikan oleh suspek.
“Sepanjang tempoh antara 14 hingga 28 Ogos lalu, mangsa dikatakan telah membuat sebanyak 14 transaksi melibatkan empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM601,850.
“Mangsa bagaimanapun hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN










