PONTIAN: Seorang peniaga wanita berusia 44 tahun kerugian RM188,350 setelah menjadi mangsa ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Pontian menerima laporan dari mangsa pada pukul 11.30 pagi kelmarin.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa menerima panggilan dari suspek pada 21 Julai lalu dengan memberitahunya terlibat dengan kes penipuan dalam talian.
“Suspek juga mengarahkan mangsa memindahkan semua wang yang dimiliki ke dalam akaun yang kononnya milik juruaudit Bank Negara Malaysia (BNM) dengan alasan bagi siasatan.
“Mangsa yang ketakutan membuat dua kali pindahan wang sebanyak RM188,350 ke dalam akaun Mule pada 26 Julai yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Tambah Mohammad Shofee, mangsa juga diarahkan oleh suspek untuk menghapuskan segala bukti pindahan wang yang dilakukan serta perbualan antara mereka berdua.
“Mangsa yang memiliki syarikat penyewaan jentera berat mula menyedari diperdaya apabila mendapati wang yang dipindahkan itu tidak dikembalikan kepadanya semula,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan serta denda. – UTUSAN










