Individu menyamar juruiring Raja Muda Selangor sebabkan kerugian RM700,000

Individu menyamar juruiring Raja Muda Selangor sebabkan kerugian RM700,000

Juruiring Raja Muda Selangor
SHAZELI Kahar menunjukkan suspek menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor sedang dikesan polis bagi membantu siasatan penipuan yang melibatkan kerugian sehingga RM700,000, di Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor sedang mengesan individu disyaki menyamar sebagai juruiring kepada Raja Muda Selangor yang melakukan penipuan sehingga menyebabkan kerugian sehingga RM700,000 sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebanyak 19 kertas siasatan diseluruh negara dibuka sejak pihaknya menerima makluman daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor, Istana Mestika.

Beliau berkata, susulan itu seorang wanita berusia 30-an ditahan di sekitar negeri ini dan direman selama tiga hari sejak 20 Oktober lalu dipercayai tunang kepada suspek utama seorang lelaki berusia 40 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wanita terbabit dipercayai bekerja sendiri dengan mengusahakan sebuah salun.

“Kita sedang memohon lanjutan reman kerana siasatan masih panjang. Sebanyak 19 kertas siasatan dibuka melibatkan kontinjen lain. Tetapi saya fokus di Selangor ada sembilan kertas siasatan dibuka.

”Jadi, kita sedang berusaha mengesan suspek utama yang bernama Al Zulfadly Alias. Kita juga mengesan beberapa individu yang dipercayai turut membantu suspek utama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Isnin lalu, Polis Selangor dilapor menyiasat dakwaan individu menyamar sebagai juruiring atau Aide-de-Camp (ADC) kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar baginda menerusi hantaran oleh pemilik akaun media sosial Threads, dwan_hamid.

Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun sebatan dan denda.

Justeru, beliau memohon orang ramai supaya membantu mengesan individu berkenaan dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Senior Asisten Komisioner Mohamad Rosni Mohamed.

“Kita mohon bantuan rakan media untuk menyebarkan kepada masyarakat bagi mengesan suspek. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Norizuana Saaidin di talian 014-7175567,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini