GEORGE TOWN : Seorang ejen hartanah direman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini susulan satu kes langgar lari yang menyebabkan dua kematian di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran susur Jambatan Pulau Pinang, semalam.
Perintah reman yang bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Hanisha S H Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Sementara itu, peguam yang mewakili ejen hartanah terbabit, R.S.N. Rayer ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihak polis pada awalnya memohon untuk mendapatkan tempoh reman selama empat hari terhadap anak guamnya, namun, mahkamah hanya membenarkan perintah reman itu selama dua hari sahaja.
“Anak guam saya bekerjasama dengan pihak polis dan telah menyerah diri di balai polis. Di bawah undang-undang, mana-mana individu yang ditahan mempunyai hak untuk berdiam diri dan tidak perlu memberikan sebarang kenyataan. Jadi, mahkamah membenarkan pihak polis (menjalankan siasatan),” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Mohamad Nazhif Faris Mohd Fauzi, 22, dan Daniesha Hana Mohd. Hairul, 20, maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah belakang di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar George Town menghala ke jambatan berkenaan.-UTUSAN











