PPKMP saran kadar lesen penjaja diseragam, lebih munasabah - Utusan Malaysia

PPKMP saran kadar lesen penjaja diseragam, lebih munasabah

ALFIRZA Munira Abdul Muin (kanan) menyantuni peserta pertandingan mewarna pada Karnival Penjaja dan Usahawan Bersama Komuniti 2026 di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) menyarankan agar kadar lesen penjaja di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diseragamkan bagi memastikan caj yang dikenakan tidak membebankan golongan berkenaan.

Presiden PPKMP, Alfirza Munira Abdul Muin berkata, kadar lesen penjaja ketika ini berbeza mengikut PBT dengan bayaran tahunan antara RM170 hingga RM400.

Katanya, kadar tertinggi sebanyak RM400 dikenakan oleh Majlis Perbandaran Manjung, sekali gus menimbulkan rungutan dalam kalangan penjaja yang mengharapkan kadar lebih munasabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu kadar lesen yang berbeza di setiap PBT ini sering dibangkitkan oleh ahli persatuan kerana ia melibatkan kos yang perlu ditanggung penjaja untuk menjalankan perniagaan.

“Sehubungan itu, pihak persatuan telah pun mengadakan perjumpaan dengan PBT bagi membincangkan pengurangan kadar yuran lesen tahunan.

“Jadi, untuk tahun hadapan, harga lesen penjaja dijangka akan diseragamkan, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya ketika ditemui pada Karnival Penjaja dan Usahawan Bersama Komuniti 2026 di PSU Club House, di Bandar Seri Botani, di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung penjaja dan peniaga kecil, pihak persatuan menyediakan kemudahan pinjaman yang membolehkan mereka membuat bayaran balik secara ansuran.

Katanya, inisiatif yang mula dilaksanakan tahun ini telah membantu lebih 50 peniaga yang memerlukan sokongan kewangan.

“​Kadar lesen penjaja ini berbeza mengikut PBT dan bukanlah kadar tetap di mana setiap tahun akan ada peningkatan.

“Sehubungan itu, kita berharap supaya kadar lesen penjaja ini dapat diseragamkan antara PBT bagi mengelakkan perbezaan caj yang ketara sekali gus membebankan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai karnival, Alfirzamunira berkata, program julung kali dianjurkan persatuan itu menghimpunkan 30 peniaga tempatan, khususnya daripada golongan B40 yang berpeluang memasarkan produk dan menjana pendapatan.

“Antara tarikan disediakan termasuk jualan makanan seperti yong tau fu dan laksa pada harga berpatutan, selain jualan Rahmah yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini