PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah takziah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin atas kemangkatan adinda baginda, Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut menitipkan doa buat Allahyarham Tengku Baderul serta seluruh kerabat Diraja Terengganu yang berdepan kehilangan itu.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat, mengurniakan keampunan serta menempatkan Almarhum Yang Amat Mulia dalam kalangan para solihin.
“Mendoakan agar Sultan Terengganu serta seluruh kerabat Diraja dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan yang amat dirasai ini,” katanya.
Terdahulu, Tengku Baderul Zaman, 51, mangkat pada pukul 1.20 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham dijadual dibawa ke Balai Islam, Istana Syarqiyyah bagi penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Susulan kemangkatan itu, Sultan Mizan menitahkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Oktober. – UTUSAN











