PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang kerugian lebih RM30,000 selepas terjerat dalam penipuan pinjaman tidak wujud ketika cuba memohon pinjaman RM80,000.
Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari 13 November lalu, apabila lelaki berusia 41 tahun itu berada di tempat kerja di Batu Caves, melihat iklan pinjaman peribadi di laman sosial Facebook.
Kata sumber, mangsa yang berminat kemudian terus menghubungi pihak pemberi pinjaman dan ingin meminjam RM80,000 sebelum suspek meminta maklumat peribadi mangsa.
“Kemudian pihak pemberi pinjaman kononnya dari sebuah bank memaklumkan permohonan mangsa sudah diluluskan keesokan harinya dan perlu membayar RM500 sebagai insurans,” katanya.
Sumber itu berkata, bagaimanapun suspek memberi pelbagai alasan kononnya peminjam perlu membuat bayaran lain sebagai syarat untuk wang pinjaman dimasukkan ke akaun.
“Mangsa kemudian memindahkan wang ke akaun diberi sebanyak beberapa kali sehingga lebih RM30,000 bermula 15 November lalu hingga kelmarin.
“Bagaimanapun sehingga kini mangsa tidak menerima pinjaman diminta menyebabkan mangsa menghubungi pihak bank sebelum terkejut apabila dimaklumkan bank tidak pernah memproses permohonannya,” jelasnya.
Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa pukul 7.59 petang kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis sudah membuat permohonan penyata bank daripada dua bank bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN








