Penghantar alat ganti tidak mengaku perdaya pinjaman tidak wujud - Utusan Malaysia

Penghantar alat ganti tidak mengaku perdaya pinjaman tidak wujud

JAMINDER Singh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud, akhir tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penghantar alat ganti kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud, akhir tahun lalu. 

Tertuduh, Jaminder Singh Dershan Singh, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya telah menipu seorang wanita berusia 41 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Ia dengan cara meminta mangsa membuat pembayaran sehingga 14 kali transaksi sebanyak RM4,500 ke dalam dua akaun bank berbeza milik tertuduh bagi mendapatkan pinjaman wang yang dijanjikan sebanyak RM1,000. 

Wanita itu tidak akan membuat transaksi wang tersebut sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh. 

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hospital swasta di Jalan Haruan 2, Pusat Komersial Oakland di sini pada 29 Disember 2022.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman menawarkan wang jaminan sebanyak RM7,000. 

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), J. Daseneang yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling minimum memandangkan penjamin adalah abang tertuduh yang hanya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jaminan RM3,500 dan kes akan disebut semula pada 13 Mac depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.