SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dipercayai menjadi mangsa pengabaian selepas dikurung di dalam sebuah stor di belakang sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar di sini sejak Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.22 malam semalam sebelum bertindak menjalankan siasatan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga sejak berusia setahun lapan bulan telah ditempatkan di dalam stor yang tidak berkunci di belakang rumah sepanjang tempoh cuti sekolah.
“Mangsa hanya diberikan makan sebanyak dua kali sehari dan dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk menggunakan tandas sebelum diarahkan kembali ke stor tersebut.
“Siasatan juga mendapati mangsa sering dimarahi dan dipukul oleh ibu angkatnya atas alasan melakukan kesalahan kecil termasuk mencuri makanan pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Yatim berkata, ketika ditemui, mangsa didapati mengalami kesan calar pada bahu dan pipi kanan.
“Mangsa kemudian diselamatkan pihak polis pada pukul 9.30 malam sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar.
“Sehingga kini, mangsa masih menerima rawatan dan ditahan di wad hospital berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan ibu angkat mangsa telah ditahan pada malam yang sama bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN










