SEREMBAN : Mahkamah Majistret Seremban hari ini menetapkan 10 September ini sebagai tarikh baharu sebutan untuk status representasi pemandu kereta Honda Jazz yang menyebabkan tiga remaja maut di Senawang, Mac lalu.
Majistret, Saiful Sayoti membuat keputusan demikian selepas peguam, Johan Radzi memaklumkan pihaknya masih belum menerima jawapan daripada pihak pendakwaan.
Johan ketika ditemui berkata, mahkamah telah menetapkan tarikh lain bagi mendapatkan keputusan yang sepatutnya iaitu pada 10 September depan.
“Hakim yang sepatutnya bersidang tidak dapat hadir dan kes dipindahkan ke Mahkamah Majistret 2,” katanya.
Prosiding tersebut berlangsung secara tertutup berikutan tertuduh yang berusia 17 tahun merupakan di bawah umur.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu Honda Jazz telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height, Senawang di sini pada 6 Mac lalu.
Bagi kertas pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa sama.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.
Bagaimanapun pada prosiding kes 23 April lalu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan pada 21 Mei, peguamnya memberitahu akan mengemukakan representasi.
Terdahulu, remaja 17 tahun itu yang berkerusi roda hadir bersama ibunya dengan ditemani ahli keluarga lain.
Sebelum ini media melaporkan, kereta Honda Jazz dipandu seorang remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di hospital. – UTUSAN










