Matrix Concepts catat jualan separuh pertama tertinggi RM797.6j

Matrix Concepts catat jualan separuh pertama tertinggi RM797.6 juta

PENGASAS dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock (kiri), Datuk Mohamad Haslah (tengah) dan Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Kelvin Lee (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) merekodkan jualan hartanah baharu tertinggi dalam sejarah kumpulan berjumlah RM797.6 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, mencerminkan permintaan kukuh terhadap projek pembangunannya.

Pencapaian itu disokong peningkatan hasil sebanyak 4.6 peratus kepada RM711.5 juta berbanding RM680.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, merangkumi RM671.5 juta atau 94.4 peratus daripada keseluruhan hasil bagi tempoh berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbandaran utama kumpulan, Sendayan Developments di Negeri Sembilan, terus menjadi pemacu prestasi dengan menyumbang hasil RM423.9 juta, manakala jualan hartanah baharu berjumlah RM484.8 juta.

Jumlah itu mewakili 60.8 peratus daripada keseluruhan jualan baharu kumpulan, sekali gus mencerminkan daya tarikan perbandaran berkenaan yang disokong kemudahan lengkap serta permintaan berterusan pembeli rumah.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi itu mencerminkan kekuatan portfolio pembangunan sedia ada selain kemajuan kumpulan dalam memperluaskan sumber pertumbuhan perniagaan.

Katanya, Sendayan Developments terus menyediakan asas kukuh kepada kumpulan, disokong peningkatan sumbangan MVV City serta pengembangan operasi di Lembah Klang dan Johor.

“Perniagaan bukan hartanah kumpulan turut menunjukkan perkembangan menggalakkan, sekali gus mempelbagaikan asas pendapatan menerusi aliran pendapatan berulang.

“Di luar Negeri Sembilan, kumpulan terus memperkukuh kehadirannya di Lembah Klang dan Johor bagi mempelbagaikan sumber pendapatan mengikut geografi,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Vision Valley City (MVV City) menyumbang RM143.3 juta menerusi jualan hartanah industri dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berkenaan.

Projek pembangunan seluas 2,382 ekar yang dibangunkan bersama Kerajaan Negeri Sembilan itu merekodkan jualan terkumpul RM596.8 juta dalam tempoh kurang dua tahun sejak dilancarkan, dengan permintaan terhadap produk industri mengatasi sasaran awal.

MVV City yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun dikenal pasti sebagai platform pertumbuhan utama kumpulan bagi jangka panjang.

Di Lembah Klang, Levia Residence Cheras terus menyumbang kepada portfolio kediaman bertingkat tinggi kumpulan, manakala pembangunan di Sepang dan Banting termasuk projek di bawah portfolio Horizon menjana hasil RM49.6 juta bagi 1H27.

Bandar Seri Impian di Kluang, Johor pula mencatatkan peningkatan jualan baharu sebanyak 99.4 peratus kepada RM64 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrix Concepts pada Oktober lalu mengumumkan cadangan pengambilalihan tanah pegangan bebas seluas 431.9 ekar di Kulai, Johor, pada harga RM169.3 juta.

“Tanah itu dirancang untuk pembangunan bercampur dengan anggaran GDV RM2.1 bilion dalam tempoh lima hingga lapan tahun.

“Pengambilalihan berkenaan dijangka meningkatkan jumlah GDV projek semasa dan masa hadapan kumpulan di Johor kepada kira-kira RM4 bilion, manakala keseluruhan GDV kumpulan meningkat kepada sekitar RM24.8 bilion,” katanya.

Bagi segmen perniagaan lain, kumpulan merekodkan peningkatan hasil sebanyak 28.1 peratus kepada RM40 juta berbanding RM31.3 juta sebelumnya.

“Segmen penjagaan kesihatan mencatatkan peningkatan hasil 13.1 peratus kepada RM6 juta, disokong pertambahan jumlah pesakit dan prosedur, manakala segmen pendidikan meningkat 16.8 peratus kepada RM14.9 juta.

“Jumlah enrolmen pelajar turut meningkat 11.6 peratus setakat September 2026.

“Segmen hospitaliti menyumbang hasil RM12.7 juta, manakala perniagaan bahan binaan merekodkan RM6.4 juta, terutama menerusi jualan kepada kontraktor pihak ketiga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini