Norazah pertahan gelaran saintis terbaik dunia

Norazah pertahan gelaran saintis terbaik dunia

Mencipta rekod tersendiri sebagai Most Consecutive Listing in Stanford University-Elsevier Top Scientists by a Female.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak perlu dilahirkan dengan segala keistimewaan untuk mencipta kejayaan. Sebaliknya, keberanian untuk mencuba, kesungguhan menimba ilmu dan keyakinan terhadap kemampuan diri menjadi bekal paling berharga dalam perjalanan seorang wanita mengejar impian.

Dalam dunia akademik yang menuntut ketelitian, persaingan dan penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi, wanita juga mampu berdiri di barisan hadapan.

Bukan sekadar mengukir pencapaian untuk diri sendiri, malah membawa nama negara ke pentas antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikat itu terpancar menerusi perjalanan figura pilihan Seri minggu ini, Datuk Prof. Dr. Norazah Mohd. Suki.

Di sebalik penampilannya yang sederhana, siapa sangka tersimpan pencapaian yang mengangkat nama Malaysia dalam kalangan penyelidik dunia.

Lebih 25 tahun mengabdikan diri dalam bidang akademik, Norazah berjaya mengekalkan kedudukan dalam World’s Top 2% Scientists List terbitan Universiti Stanford dan Elsevier selama lapan tahun berturut-turut dari 2019 hingga 2026.

Pengiktirafan tersebut turut melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi rekod kebangsaan Most Consecutive Listing in Stanford University-Elsevier Top Scientists by a Female, sekali gus mengiktiraf pencapaian wanita dengan penyertaan berturut-turut paling lama dalam senarai berkenaan.

Lebih membanggakan, wanita berusia 49 tahun ini menduduki tempat ke-166 daripada 68,786 penyelidik di seluruh dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan.

Pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi, malah membuktikan penyelidik wanita tempatan mampu bersaing dan mendapat tempat dalam lingkungan akademik antarabangsa.

Kini, sebagai Profesor Pemasaran dan E-Dagang serta Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Norazah menggalas tanggungjawab besar membimbing generasi penyelidik baharu.

Bagi Norazah, kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui gelaran, kedudukan atau pengiktirafan yang diraih.

Lebih penting, sejauh mana wanita berani meneroka kemampuan diri, melangkaui batas yang dirasakan membataskan dan memberi makna kepada ilmu yang dimiliki.

Bagi dirinya sendiri, di sebalik gelaran profesor dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, terbentang perjalanan panjang yang menuntut pengorbanan masa, tenaga serta kesungguhan untuk terus menghasilkan karya berkualiti.

Ada kalanya, waktu hujung minggu yang sepatutnya menjadi ruang untuk berehat terpaksa diperuntukkan bagi menyiapkan manuskrip, menyemak data penyelidikan dan membimbing pelajar.

Tanggungjawab yang datang silih berganti menuntutnya bijak mengurus masa, selain memastikan usaha menghasilkan penyelidikan tidak terhenti.

Bagi Norazah, kejayaan dalam bidang akademik memerlukan komitmen untuk terus belajar, meneliti dan memperbaiki mutu kerja setiap hari.

“Sesibuk mana pun dengan jadual pentadbiran dan akademik, saya memastikan setiap hari ada masa khusus untuk menulis, menyemak data atau meneliti manuskrip penyelidikan.

“Kunci utamanya ialah disiplin harian dan konsistensi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Didikan keluarga menjadi akar kekuatan

Dilahirkan di Kluang, Johor dan dibesarkan di Jasin, Melaka, Norazah merupakan anak kedua daripada tiga beradik yang diasuh dengan nilai disiplin, kerja keras dan kepentingan menuntut ilmu.

Ibunya, Azbah Semat, pernah berkhidmat sebagai bidan gred khas di Hospital Melaka sebelum bersara, manakala arwah bapanya, Mohd Suki Umbi, merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja

Malaysia (TLDM) sebelum menjadi penguasa asrama di Institut Kemahiran Mara Melaka. Daripada kedua-dua insan itulah beliau belajar pendidikan merupakan antara jalan penting untuk membina masa hadapan dan mengubah kehidupan.

Sokongan serta pengorbanan ibu bapanya juga menjadi kekuatan untuk beliau terus melangkah, meskipun perjalanan menuntut ilmu memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi.

“Kedua-dua ibu bapa saya memainkan peranan besar dalam memupuk minat terhadap pendidikan apabila sentiasa memberikan sokongan moral dan sanggup berkorban demi memastikan anak-anak mendapat peluang menimba ilmu.

“Dorongan keluarga itulah yang menjadi asas kepada perjalanan pendidikan saya sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian di Institut Perdagangan Mara Melaka, beliau melanjutkan pengajian ijazah pertama di Universiti Multimedia (MMU), Melaka dan Cyberjaya sebelum menamatkannya pada 2000.

Minat terhadap bidang pemasaran dan e-dagang kemudian mendorongnya menyambung pengajian pada peringkat sarjana serta doktor falsafah (PhD) di universiti sama.

Lebih membanggakan, beliau berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang pemasaran dan e-dagang ketika berusia 29 tahun pada 2006.

Ketika berada di universiti, minat terhadap penyelidikan mula bercambah apabila beliau tertarik untuk memahami persoalan berkaitan perniagaan secara saintifik, selain melihat peluang untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat.

Barangkali ketika itulah beliau mula menyedariperjalanan menuntut ilmu tidak seharusnya berhenti pada pencapaian diri sendiri. Sebaliknya, ilmu yang diperoleh perlu dikembangkan agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.

Lebih 25 tahun membuktikan kemampuan wanita

Selepas menamatkan pengajian, Norazah memulakan kerjaya sebagai ahli akademik yang membawanya berkhidmat di beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Antaranya, Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan.

Setiap persinggahan memberikan pengalaman berbeza, sekali gus membentuk kematangan dan memperluas perspektifnya terhadap dunia akademik.

Pada 2018, beliau menyertai UUM dan terus mengembangkan kepakaran dalam bidang pemasaran serta e-dagang.

Sepanjang lebih dua dekad membina kerjaya, Norazah berkata, menjadi wanita dalam bidang profesional bukan sekadar tentang kemampuan menggalas tugas, tetapi juga kesediaan untuk terus membuktikan kredibiliti menerusi hasil kerja.

Baginya, wanita tidak seharusnya mengehadkan kemampuan hanya kerana berdepan cabaran atau tanggungjawab yang pelbagai.

Sebaliknya, setiap peluang perlu dimanfaatkan untuk mengembangkan potensi, manakala setiap pengalaman menjadi ruang untuk membina keyakinan diri.

Katanya, kejayaan yang dicapai perlu membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk turut berkembang.

Kejayaan lebih bermakna apabila dapat mengangkat orang lain

Jika pengiktirafan antarabangsa menjadi bukti kemampuan Norazah dalam dunia penyelidikan, pengalaman membimbing pelajar pula memperlihatkan sisi seorang pendidik yang mahu melihat generasi muda mengecapi kejayaan.

Antara pengalaman paling diingati ialah ketika membimbing seramai 105 penuntut sarjana muda menghasilkan artikel berindeks Scopus sebelum menghimpunkan hasil penyelidikan mereka dalam sebuah buku terbitan IGI Global pada 2017.

“Sepanjang kerjaya, saya bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengajaran dan penyelidikan, tetapi turut melihat peluang membimbing pelajar sebagai satu tanggungjawab yang cukup bermakna,” jelasnya.

Katanya, kepuasan dalam bidang akademik hadir apabila ilmu yang dikongsikan turut membantu orang lain berkembang.

Melihat pelajar berani mengemukakan idea, menghasilkan penyelidikan dan menerbitkan karya sendiri menjadi antara pengalaman yang paling bermakna sepanjang kerjayanya.

Menyokong pelaksanaan pembangunan mampan

Dalam dunia akademik, penerbitan dan sitasi sering menjadi antara ukuran pencapaian seseorang penyelidik. Namun, katanya, nilai sesuatu penyelidikan tidak seharusnya terhenti pada helaian jurnal.

Hasil kajian perlu mempunyai manfaat yang dapat diterjemahkan kepada keperluan industri, masyarakat dan negara.

Minatnya terhadap penyelidikan tertumpu kepada beberapa bidang utama, antaranya pemasaran hijau, e-dagang dan tingkah laku pengguna digital.

Pemasaran hijau mula menarik perhatiannya sejak peringkat sarjana kerana beliau percaya aktiviti perniagaan perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, perkembangan teknologi membuka ruang kepada pelbagai persoalan baharu dalam bidang e-dagang dan tingkah laku pengguna.

Kemunculan kecerdasan buatan (AI) serta corak pembelian seperti Buy Now, Pay Later (BNPL) misalnya, mengubah cara pengguna membuat keputusan dan berinteraksi dengan dunia perniagaan.

Perubahan tersebut memerlukan penelitian berterusan agar industri dapat memahami keperluan pengguna moden, selain memastikan perkembangan ekonomi digital tidak mengabaikan aspek etika dan kelestarian.

Penyelidikan dalam bidang berkenaan turut menyumbang kepada usaha menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Setiap kajian seharusnya mempunyai implikasi praktikal yang boleh membantu industri membuat keputusan strategik, memperkukuh agenda kelestarian serta menyokong penggubalan dasar awam,” ujarnya.

Bagi Norazah, cabaran paling besar ialah mengimbangi tugas pentadbiran peringkat eksekutif, pengajaran, penyeliaan pelajar pascasiswazah serta tuntutan menghasilkan penerbitan berimpak tinggi.

Sokongan ahli keluarga terdekat banyak membantunya menghadapi tuntutan kerjaya, selain memberikan kestabilan emosi.

Katanya, wanita perlu mempunyai kekuatan untuk terus bergerak ke hadapan tanpa mengabaikan kepentingan keluarga dan kesejahteraan diri.

Begitupun, beliau mengakui antara cabaran utama wanita ialah mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.

Justeru, ketelitian, kesabaran dan keupayaan mengurus pelbagai peranan perlu dijadikan asas kekuatan untuk membina kecemerlangan dalam diri setiap wanita.

Justeru, beliau mahu wanita muda khususnya yang berminat dalam bidang akademik dan penyelidikan, supaya tidak takut memulakan langkah meskipun perjalanan yang menanti mungkin panjang.

“Jangan takut untuk bermula dan yakinlah bahawa setiap pakar bermula daripada langkah pertama.

“Jangan mengejar hasil segera secara sambil lewa, sebaliknya kuasai asas penyelidikan dengan teliti dan dapatkan bimbingan daripada mentor yang berpengalaman,” katanya mengakhiri bicara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini