Ismail kekal Menteri Besar, enam muka baharu dilantik Exco

Ismail kekal Menteri Besar, enam muka baharu dilantik Exco

uanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bergambar bersama barisan Exco pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan. – GAMBAR FACEBOOK ISMAIL LASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Datuk Ismail Lasim kekal menerajui Kerajaan Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar manakala enam muka baharu dilantik mengisi kekosongan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi melengkapkan semula pentadbiran negeri itu selepas kemelut politik berlarutan lebih dua bulan.

Pelantikan itu menyaksikan empat wakil Barisan Nasional (BN) dan dua wakil Perikatan Nasional (PN) mengisi kekosongan jawatan Exco susulan pemecatan beberapa penyandang sebelum ini berhubung kemelut berkaitan isu adat dan institusi takhta.

Kesemua Exco mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat di Istana Seri Menanti, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Empat daripada enam muka baharu yang dilantik mewakili BN ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd. Jalil dan ADUN Repah, Koh Kim Swee daripada MCA.

Dua lagi wakil PN ialah ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha mempercepat urusan pentadbiran negeri termasuk menyelesaikan pelbagai kertas kerja yang tertangguh susulan hampir dua bulan tiada mesyuarat Exco.

“Saya dan rakan-rakan Exco AKAN menumpukan kepada soal pentadbiran negeri. Apa juga berkaitan pentadbiran negeri, kita mahu mempercepatkan dan mengejar semula masa yang tertinggal,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Exco.

Menurutnya, kerajaan negeri merancang mengadakan mesyuarat Exco dua kali seminggu bermula minggu depan bagi mempercepat penyelesaian kertas kerja yang tertangguh.

‘”Insya Allah, seawal minggu depan saya sudah menetapkan mesyuarat Exco pada Selasa dan Khamis,” katanya.

‘Mengenai Belanjawan Negeri Sembilan, Ismail berkata, perkara itu akan dibawa untuk persetujuan dalam mesyuarat Exco akan datang sebelum tarikh pembentangannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk perkenan.

Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah, pengalaman kemelut berkenaan perlu dijadikan iktibar oleh setiap Exco dengan memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan mengikut batas kuasa serta peraturan ditetapkan.

Titah baginda, semua Exco seharusnya memberikan sepenuh perhatian terhadap portfolio yang diamanahkan, selain melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, profesionalisme dan kebijaksanaan.

“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.

“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri,” titah baginda. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini