BN serah kepada istana kedudukan MB Negeri Sembilan

BN serah kepada istana kedudukan MB Negeri Sembilan

ZAHID Hamidi sempat keluangkan masa menjawab sedikit soalan dari para wartawan diperkarangan pintu pagar Istana Hinggap, Seremban selepas selesai mengadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada pihak istana.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Istana bagi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan yang dicapai hasil pertemuan bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ketika ditanya media mengenai pertemuan tersebut, beliau berkata pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan keputusan yang dipersetujui bersama akan dimuktamadkan menerusi kenyataan rasmi pihak istana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menghadap Tuanku dalam suasana yang tenang dan Tuanku akan membuat keputusan.

“Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama persetujukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa penyelesaian kemelut politik negeri itu dijangka diketahui dalam masa terdekat.

“Insya-Allah dalam masa terdekat (akan selesai),” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di perkarangan istana berkenaan sekitar pukul 3 petang sebelum beredar kira-kira satu jam kemudian.

Selain itu, antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sekitar jam 2.45 petang diikuti Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan tiba di Istana Hinggap kira-kira pukul 1.18 petang bagi menghadap Tuanku Muhriz.

Perkembangan itu menarik perhatian susulan kemelut politik negeri ini, khususnya berhubung kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar serta dakwaan peletakan jawatannya yang menjadi perbincangan sejak minggu lalu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Negeri Sembilan dijangka bakal mempunyai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Ismail, dengan kedudukannya difahamkan akan ditentukan minggu ini.

Perkembangan itu susulan pendirian kesemua 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dilaporkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ismail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini