Kerajaan Negeri Sembilan fokus percepat urusan pentadbiran

Kerajaan Negeri Sembilan fokus percepat urusan pentadbiran

ISMAIL Lasim ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada usaha mempercepat urusan pentadbiran negeri termasuk menyelesaikan pelbagai kertas kerja yang tertangguh susulan hampir dua bulan tiada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, sebahagian besar kertas kerja yang tertangguh itu melibatkan kepentingan rakyat dan perlu diselesaikan segera bagi memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Menurutnya, beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran negeri bagi mempercepat pelaksanaan perkara yang tertangguh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dan rakan-rakan Exco menumpukan kepada soal pentadbiran negeri. Apa juga berkaitan pentadbiran negeri, kita mahu mempercepatkan dan mengejar semula masa yang tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan negeri merancang mengadakan mesyuarat Exco dua kali seminggu bermula minggu depan bagi mempercepat penyelesaian kertas kerja yang tertangguh.

“Sepertimana kita sedia maklum, sudah hampir dua bulan tiada mesyuarat Exco. Banyak kertas kerja yang tertangguh dan sebahagian besarnya melibatkan kepentingan rakyat.

“Insya Allah, seawal minggu depan saya sudah menetapkan mesyuarat Exco pada Selasa dan Khamis. Mungkin kita akan mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap supaya dapat menyelesaikan kertas-kertas yang tertangguh sekarang ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, portfolio setiap Exco masih belum ditetapkan dan memerlukan penelitian sebelum diumumkan dalam tempoh sehari dua.

Katanya, beberapa portfolio mungkin perlu digabungkan mengikut kesesuaian bidang tugas memandangkan hanya enam Exco diperkenankan untuk menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

“Beberapa portfolio mungkin perlu digabungkan mengikut kesesuaian bidang tugas masing-masing bagi memastikan EXCO dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Jadi, beri saya masa sehari dua untuk membuat pengumuman mengenai portfolio rakan-rakan EXCO,” katanya.

Mengenai Belanjawan Negeri Sembilan, Ismail berkata, perkara itu akan dibawa untuk persetujuan dalam mesyuarat Exco akan datang sebelum tarikh pembentangannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk perkenan.

Terdahulu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai EXCO Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Tuanku Muhriz dalam istiadat berkenaan.

Pelantikan itu menyaksikan empat wakil Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Perikatan Nasional (PN) menganggotai barisan Exco baharu.

Empat wakil BN ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd. Jalil dan ADUN Repah, Koh Kim Swee daripada MCA.

Dua wakil PN pula ialah ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini