BUKIT JALIL: Disifatkan sudah layak menyerikan karya layar perak, pelakon, Emma Maembong tidak menyangka bakat dan mutu lakonannya sepanjang berkecimpung dalam industri seni mendapat pengiktirafan sedemikian daripada penonton.
Menurut Emma, dia turut menerima pujian yang sama daripada pihak produksi selepas membintangi drama Suamiku Anak Mak yang lebih menyerlahkan lagi mutu lakonannya menerusi naskhah tersebut.
“Saya tidak sangka menerima komen sampai ke tahap itu. Terima kasih kepada sesiapa yang memberikan komen tersebut. Saya sangat menghargainya.
“Sebenarnya, saya sudah lama dalam bidang lakonan. Apabila kita melakukan perkara yang sama setiap hari, berlakon dan terus berlakon, kita rasa perkara itu sudah menjadi sesuatu yang biasa.
“Tetapi apabila orang nampak usaha yang kita lakukan selama ini, Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui di Watch Party Suamiku Anak Mak episod ke-20, semalam.
Kekal merendah diri meskipun dipuji, Emma memaklumkan dia turut menerima dorongan daripada individu di sekelilingnya agar lebih berani mencabar diri dan mengembangkan potensi lakonannya.
“Kebelakangan ini ramai yang menyokong saya dari belakang. Mereka meminta saya supaya tidak terlalu merendah-rendahkan diri dan cuba mendorong diri untuk pergi lebih jauh.
“Tetapi saya selalu rasa diri saya biasa-biasa sahaja. Apabila ada orang yang nampak bakat saya, saya sangat bersyukur.
“Saya tidak begitu aktif di media sosial, jadi saya tidak pandai hendak menyampaikan betapa berterima kasihnya saya kepada mereka yang benar-benar melihat bakat saya,” jelasnya.
Mengulas mengenai keinginannya untuk muncul di layar perak, Emma memberitahu dirinya pernah menerima beberapa tawaran dari pihak produksi, namun terpaksa menolak kerana terikat dengan komitmen penggambaran drama.
“Sebenarnya, sudah banyak sangat tawaran filem yang saya terima. Tetapi disebabkan saya pelakon drama, jadual penggambaran selalunya bertembung.
“Kebanyakan tawaran filem yang saya terlepas adalah kerana pihak produksi perlu mencari pelakon dengan segera. Apabila jadual saya tidak sesuai, mereka akan mencari pelakon lain.
“Setakat ini, belum ada produksi filem yang benar-benar mahukan saya sehingga sanggup menunggu saya lapang. Kalau ada yang sanggup menunggu, alhamdulillah,” kongsinya.
Ditanya sama ada dia menyimpan impian untuk menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM), Emma tidak menafikan pengiktirafan tersebut merupakan antara perkara yang diidamkannya sebagai seorang pelakon.
“Sudah tentu. Siapa pelakon yang tidak pernah teringin menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM? Setahu saya, saya tidak pernah tercalon dalam FFM.
“Kalau dapat, sudah tentu saya sangat bersyukur. Rasanya kalau mendapat jemputan ke FFM pun saya sudah bersyukur,” ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan peminat drama tempatan, Astro menganjurkan sesi Watch Party bagi drama fenomena Suamiku Anak Mak dengan menghimpunkan barisan pelakon utama bersama peminat dalam sebuah acara istimewa bagi meraikan perjalanan dan kejayaan drama tersebut.











