FLORIDA: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas mengejar ibunya menggunakan gergaji rantai dan mengugut mencederakan haiwan peliharaan keluarga gara-gara konsol permainan Xbox miliknya dirampas.
Kejadian berlaku hujung minggu lalu di kawasan DeLand, daerah Volusia, yang turut merangkumi Daytona Beach.
Menurut kenyataan Pejabat Syerif Volusia pada Isnin, remaja itu bertindak sedemikian selepas ibunya merampas konsol permainan berkenaan susulan pelancaran permainan video Grand Theft Auto VI (GTA VI).
Polis turut memuat naik gambar sebuah gergaji rantai elektrik jenama Greenworks yang digunakan dalam kejadian itu.
Remaja berkenaan didakwa atas kesalahan serangan menggunakan senjata berbahaya sebelum dibawa ke Pusat Sumber Keluarga Volusia, menurut kenyataan itu.
Kenyataan yang dimuat naik di Facebook itu menerima ratusan komen daripada pengguna media sosial.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas pelancaran Grand Theft Auto VI (GTA VI), permainan video paling popular tahun ini, yang mula dipasarkan di seluruh dunia pada Khamis.
Dibangunkan oleh Rockstar Games dan dilancarkan lebih sedekad selepas GTA V, permainan terbaharu itu menampilkan pengembaraan jenayah dunia terbuka yang membolehkan pemain meneroka peta luas.
Pemain perlu menyelesaikan pelbagai misi dan melakukan kegiatan jenayah, termasuk mencuri kereta serta menembak musuh.
Permainan itu berlatarbelakangkan Leonida, sebuah negeri fiksyen yang diinspirasikan daripada Florida.
Rockstar Games dan syarikat induknya melaporkan jualan runcit sebanyak AS$3.79 bilion (RM15.5 bilion) pada hari pertama pelancaran, sekali gus menyifatkannya sebagai pelancaran terbesar dalam sejarah industri hiburan.
Kedua-dua syarikat itu turut memaklumkan sebanyak 32.5 juta unit permainan berkenaan telah terjual menerusi tempahan awal, sekali gus mencatat rekod baharu.
Permainan GTA paling popular dalam kalangan golongan dewasa muda, khususnya lelaki dan remaja lelaki.- AGENSI











