PARIS: Agensi berita antarabangsa Agence France-Presse (AFP) menutup sementara platform kandungannya, AFP Forum, susulan serangan siber yang dikesan pada Khamis.
Serangan itu bermula kira-kira 1.30 pagi (waktu tempatan) dan menyasarkan AFP Forum, platform yang digunakan pelanggan untuk melihat serta memuat turun kandungan agensi berkenaan, menurut emel dalaman pihak pengurusan.
“Sebaik sahaja pencerobohan dikesan, pasukan kami segera mengambil langkah untuk membendungnya dan menutup AFP Forum sebagai langkah berjaga-jaga. Platform itu kekal tidak boleh diakses sehingga dimaklumkan kelak,” menurut emel berkenaan.
AFP berkata, pihaknya menyediakan kaedah alternatif kepada pelanggan sepanjang platform itu tidak dapat diakses.
“Siasatan sedang dijalankan dengan bantuan pakar luar. Setakat ini, kami belum mempunyai maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Serangan siber itu berlaku ketika beberapa syarikat dan institusi awam di Perancis serta negara lain berdepan siri insiden seumpamanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebahagian serangan dikaitkan dengan kumpulan penjenayah yang mahu memperoleh keuntungan kewangan, manakala serangan lain bertujuan mencetuskan ketidakstabilan.











