Pelabuhan, syarikat kapal AS dalam radar penggodam

Pelabuhan, syarikat kapal AS dalam radar penggodam

PELABUHAN utama di Texas berdepan ratusan hingga ribuan cubaan serangan siber setiap hari.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pelabuhan utama dan syarikat perkapalan di Amerika Syarikat (AS) berdepan peningkatan ketara cubaan serangan siber yang dikhuatiri boleh menjejaskan laluan perdagangan global serta bekalan tenaga.

Menurut laporan Financial Times, Pelabuhan Corpus Christi di Texas, hab eksport minyak mentah terbesar AS, berdepan ratusan hingga ribuan cubaan serangan siber setiap hari.

Pelabuhan itu mengendalikan kira-kira 2.3 juta tong minyak mentah sehari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kent Britton berkata, penggodam cuba mengesan kelemahan rangkaian komputer selain menyamar sebagai eksekutif kanan menerusi mesej palsu bagi mendapatkan akses tanpa kebenaran.

Serangan berkenaan merangkumi cubaan meneka kata laluan secara automatik hingga kaedah lebih canggih untuk mencuri atau memusnahkan data.

Sementara itu, Pelabuhan Los Angeles melaporkan berjaya menyekat 120 juta cubaan serangan siber pada Ogos lalu, hampir dua kali ganda purata bulanan yang direkodkan pada 2023.

Pengawal Pantai AS turut merekodkan peningkatan 17 peratus insiden siber membabitkan sektor maritim tahun lalu.

Ogos lalu, Pengawal Pantai AS dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut menyiasat kejadian pencerobohan siber yang disyaki membabitkan dua kapal tangki menuju ke AS yang membawa minyak mentah dan gas petroleum cecair dari Mediterranean ke Galveston, Texas.

Rangkaian komputer kedua-dua kapal itu dipercayai diceroboh ketika berada berhampiran Selat Gibraltar, sekali gus mendorong pemeriksaan keselamatan dilakukan pada 21 dan 24 Ogos.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mendedahkan identiti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

Laporan itu turut mendedahkan serangan siber terhadap Pelabuhan Carolina Utara pada Ogos lalu yang menyebabkan operasi pintu masuk tergendala sementara, selain memaksa kakitangan memproses urusan kargo secara manual.

Syarikat perkapalan gergasi, Maersk, turut mendedahkan berlaku kebocoran data bulan ini, namun menegaskan operasi syarikat tidak terjejas dan insiden itu tidak membabitkan serangan perisian tebusan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini