KUALA LUMPUR: Lukisan pelukis tersohor dunia, Pablo Picasso yang sebelum ini dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dipamerkan di ruang khas pameran Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dari 27 hingga 29 November ini.
Karya bertajuk L’Écuyère et Les Clowns (The Horsewomen and The Clowns) itu merupakan cetakan litografi berwarna yang dihasilkan pada 1961 dan akan dipersembahkan bersama maklumat mengenai latar belakang, konteks seni serta interpretasi visualnya.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, penyediaan ruang khas berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai karya seni yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.
Menurutnya, pendekatan itu juga membolehkan pengunjung memahami sejarah, konteks dan nilai artistik sesebuah karya, bukan sekadar melihatnya dari sudut visual.
“Dalam penganjuran kali ini, Balai Seni Negara turut menyediakan ruang khas yang menampilkan pengisian pameran dan penglibatan agensi. Antara yang menjadi perhatian ialah ruang pameran berkaitan 1MDB.
“Ruang ini turut menampilkan bahan interpretasi karya seni, termasuk karya L’Écuyère et Les Clowns (The Horsewomen and The Clowns) oleh Pablo Picasso, sebuah cetakan litografi berwarna bertarikh 1961.
“Karya ini dipersembahkan bersama maklumat berkaitan latar belakang, konteks seni, medium dan interpretasi visualnya sebagai sebahagian daripada pendekatan pendidikan seni kepada pengunjung.
“Kita melihat pendekatan interpretasi seperti ini sebagai satu peluang untuk membawa masyarakat mendekati karya seni bukan sekadar melalui pemerhatian visual, tetapi juga melalui pemahaman terhadap sejarah, konteks dan nilai artistiknya,” katanya semasa sidang akhbar MAEF 2026 di Balai Seni Negara, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pameran koleksi seni yang diperoleh menerusi hasil berkaitan 1MDB turut membawa mesej penting mengenai integriti kepada masyarakat.
Katanya, pendedahan berkenaan memberi peluang kepada orang ramai memahami isu integriti melalui contoh sebenar yang sebelum ini tidak banyak dikongsikan kepada umum.
“Tujuan kita untuk berkongsi sebahagian daripada koleksi yang kita dapat daripada hasil 1MDB adalah tujuannya untuk kita memberi satu pendedahan dan terutama sekali pendidikan kepada masyarakat.
“Yang pertama, itulah matlamat dan niat kerajaan berkaitan dengan membimbing masyarakat dan rakyat kita berkaitan dengan integriti. Sebab mauduk daripada koleksi tersebut adalah berkaitan dengan integriti.
“Jadi pendidikannya adalah berkaitan dengan integriti. Segala-galanya berkaitan dengan integriti ada di situ cuma sebelum ini mungkin tidak ada contoh yang dapat dikongsikan dengan awam.
“Kali ini contoh tu ada pada kita dan kebenaran daripada pihak kerajaan, terutama sekali daripada pasukan 1MDB.
“Jadi kita akan pamerkan sebahagian dan bersama-sama kita akan membincangkan hal-hal berkaitan dengan pertama berkaitan dengan integriti, dan yang kedua adalah berkaitan dengan artis karya seni tersebut, seniman tersebut,” katanya.
Beliau berkata, karya Picasso berkenaan merupakan antara karya seni bertaraf antarabangsa yang mempunyai nilai artistik tinggi dan pameran itu memberi peluang kepada masyarakat meneliti karya berkenaan dengan lebih dekat.
Katanya, Balai Seni Negara turut mahu memberi pendedahan mengenai usaha pemuliharaan dan penyimpanan koleksi berkenaan yang kini berada dalam keadaan baik di negara ini.
“Kali ini kita dapat melihat secara detail. Dan tujuan juga adalah untuk mempromosikan bahawasanya ia sekarang dalam keadaan yang baik, simpanan yang baik di negara, di balai seni negara dan kita akan pamerkan kelak di galeri 2B di sini.
“Jadi untuk melihat karya yang aslilah kita galakkan datang ke sini dan melihat bagaimana ia dikurasikan, bagaimana ia dipamerkan dan bagaimana usaha untuk melihat sebuah karya di sebalik dinding ataupun lukisan tersebut lah. Apa cerita dan naratif yang ada di belakang itu,” katanya. – UTUSAN











