KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Isnin mengesahkan negaranya bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap dua kapal Russia di perairan Libya, dengan salah sebuah daripadanya dilaporkan karam.
Serangan pada Ahad berhampiran pelabuhan Benghazi itu berlaku ketika Ukraine meningkatkan serangan terhadap sasaran Russia yang jauh dari medan pertempuran.
Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan berkenaan dan memberi amaran Libya yang masih berpecah-belah susulan perang saudara berisiko menjadi medan pertempuran bagi konflik asing.
“Serangan itu berlaku di perairan Libya. Anggota tentera kami mengerahkan tujuh dron tentera laut buatan Ukraine.
“Walaupun pihak musuh berusaha sedaya upaya untuk menangkis serangan itu, korvet Russia, Merkury berjaya ditenggelamkan,” tulis Zelensky menerusi platform X.
Pemimpin Ukraine itu mendakwa Merkury adalah antara kapal terbaharu Russia yang mula beroperasi pada 2023, ketika perang berskala penuh dengan Ukraine sedang berlangsung.
“Sasaran kedua kami ialah kapal kargo kering Russia, MV ANGARA, yang digunakan musuh untuk mengangkut senjata. Sasaran berjaya dibedil,” katanya.
Zelensky turut mendakwa sebuah helikopter tempur Ka-27 musnah dalam serangan terhadap kapal Merkury.
Serangan pada Ahad itu menyusul selepas sebuah dron dilaporkan mengenai kapal kargo Russia di timur Laut Baltik pada Sabtu, berhampiran perairan Finland.
Pengawal Sempadan Finland sebelum ini menyatakan serangan itu dilakukan oleh Ukraine.
Misi PBB di Libya (UNSMIL) menyuarakan kebimbangan serius berhubung serangan berkenaan dan menggesa siasatan segera, bebas serta telus dijalankan.
“Libya tidak mampu dan tidak boleh menjadi medan pertempuran bagi konflik asing,” menurut UNSMIL menerusi platform X.-AFP











