PARIS: Anggota tentera Perancis dilaporkanberoperasi secara rahsia di dalam wilayah Ukraine sejak beberapa bulan lalu bagi melatih pasukan tentera Kyiv serta menyelenggara kelengkapan senjata yang dibekalkan oleh negara Barat.
Pendedahan oleh penyiar antarabangsa Radio France Internationale (RFI) itu mendakwa misi sulit tersebut dijalankan sekurang-kurangnya sejak musim panas 2026 tanpa sebarang pemakluman rasmi kepada ahli parlimen Perancis.
Menurut laporan siasatan yang diterbitkan pada Isnin itu, operasi yang menggunakan nama kod ‘Volia’ dan diketuai oleh seorang jeneral tentera Perancis tersebut melibatkan kerahan kumpulan kecil anggota tentera secara bergilir-gilir bagi tempoh jangka pendek.
Anggota tentera terbabit didakwa hanya terlibat dalam latihan serta penyelenggaraan aset ketenteraan canggih buatan Perancis termasuk meriam bergerak Caesar, jet pejuang Mirage 2000 dan peluru berpandu berpandu tepat tanpa menyertai sebarang pertempuran secara langsung.
Bagi menyembunyikan kehadiran mereka di Ukraine, pihak berkuasa tentera Perancis dilaporkan menggunakan misi latihan sedia ada di negara jiran Poland yang dikenali dengan nama kod ‘Gerfaut’ sebagai helah penyamaran.
Misi Gerfaut yang beroperasi sejak 2023 di bawah Misi Bantuan Ketenteraan Kesatuan Eropah bagi menyokong Ukraine (EUMAM) sebelum ini melatih kira-kira 25,000 anggota tentera Ukraine di Perancis dan Poland.
Sumber RFI mendedahkan sebahagian anggota tentera yang dihantar ke Ukraine diarahkan supaya memberitahu pihak luar mereka sebenarnya ditugaskan ke Poland.
Satu lagi sumber yang arif mengenai operasi tersebut turut mengesahkan kepada agensi berita AFP jurulatih tentera Perancis sememangnya membuat pusingan tugas antara Perancis, Poland dan Ukraine, namun tetap menegaskan mereka tidak terlibat dalam sebarang operasi tempur.
Markas Staf Am Angkatan Tentera Perancis bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung pendedahan berkenaan.
Laporan itu turut mencetuskan persoalan besar mengenai ketelusan serta semak dan imbang memandangkan wakil rakyat Perancis didakwa langsung tidak dimaklumkan mengenai penghantaran pasukan tersebut, sedangkan Perkara 35 Perlembagaan mewajibkan kerajaan memaklumkan kepada Parlimen sekiranya mengerahkan angkatan tentera ke luar negara.
Pendedahan ini muncul hanya beberapa hari selepas Kesatuan Eropah (EU) melanjutkan misi bantuan ketenteraannya untuk Ukraine sehingga November 2028 dengan peruntukan hampir 300 juta euro (RM1.35 bilion).
Selain itu, EU turut mengumumkan rancangan menempatkan kehadiran tentera di negara itu bagi menyelaras bantuan secara terus bersama pasukan Kyiv walaupun Moscow berulang kali memberi amaran tentera Eropah akan menjadi sasaran sah serangan Russia. -AGENSI











