PETALING JAYA: Malaysia menghargai pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap usaha membantu perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja bagi mengembalikan kestabilan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN – Amerika Syarikat di Manila, Filipina, Trump menyatakan pengiktirafan terhadap usaha Malaysia meredakan ketegangan melibatkan kedua-dua negara tersebut.
“Pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN–Amerika Syarikat, saya menghargai pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap usaha Malaysia membantu Thailand dan Kemboja meredakan ketegangan serta mencari jalan ke arah keamanan.
“Komitmen kedua-dua negara untuk meneruskan dialog amat penting bagi menjamin keamanan yang berkekalan di sempadan dan kestabilan rantau kita,” katanya melalui akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Trump mengiktiraf peranan Anwar dalam membantu memeterai perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand tahun lepas, selain menegaskan semula komitmen Washington untuk memastikan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.
Berucap pada Sidang Kemuncak khas ASEAN-Amerika Syarikat di Manila malam semalam, Trump berkata, usaha beliau bersama Anwar berjaya mencapai gencatan senjata dan membolehkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kediaman masing-masing.
Mengulas berhubung penyertaan AS dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, Perdana Menteri berkata, pertemuan itu membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dengan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang berkepentingan Bersama.
“Ia termasuk perdagangan, pelaburan dan teknologi. Hubungan ini harus terus diperkasa dengan tumpuan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat,” katanya.
Sebelum berlepas ke Shenzhen, China, Perdana Menteri turut berkesempatan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Filipina selaku Pengerusi ASEAN, Ferdinand R. Marcos Jr. sebagai penutup kepada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49.
“Sekalung penghargaan kepada Presiden Marcos dan kerajaan Filipina atas kepengerusian pada kali ini yang begitu membanggakan warga ASEAN seluruhnya,” katanya. – UTUSAN











