CYBERJAYA: Penggiat seni perlu menguasai ilmu perniagaan dan aspek komersial industri muzik, bukan sekadar bergantung kepada bakat mencipta lagu atau menyanyi bagi memastikan kerjaya mereka mampu bertahan dalam industri yang semakin mencabar.
Komposer dan penerbit muzik terkenal, Mohd Faizal Maas atau mesra disapa Ajai berkata, pengalaman lebih tiga dekad dalam industri mendorongnya membangunkan modul perniagaan muzik menerusi kerjasama Multimedia University (MMU), DSR International Academy dan Wake The Baby Records.
Menurutnya, penggiat seni khususnya mereka yang bergerak secara bebas perlu memahami keseluruhan proses dalam industri muzik, termasuk penghasilan karya, pengurusan, pemasaran serta cara menjadikan produk kreatif sebagai sumber pendapatan.
“Dahulu kita banyak bergantung kepada pihak antarabangsa untuk pengedaran dan membantu mengembangkan kerjaya, tetapi sekarang semakin banyak label bebas yang perlu memahami setiap cabang industri muzik dari A hingga Z.
“Kita sudah tahu tentang muzik, tetapi selepas menghasilkan karya, bagaimana kita mahu mengurus dan mengembangkan muzik itu supaya kerjaya kita dapat bertahan apabila generasi silih berganti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertukaran MoU di MMU, pada Isnin.
Ajai berkata, program latihan yang berlangsung selama tiga hingga empat hari itu dirangka secara intensif bagi memadatkan ilmu serta mempercepatkan pemahaman peserta terhadap aspek komersial industri kreatif.
Beliau berkata, penglibatan pengamal industri yang berpengalaman sebagai tenaga pengajar turut memberi peluang kepada peserta mempelajari ilmu dan pendekatan sebenar yang digunakan dalam membangunkan kerjaya seni.
“Harapan saya, program ini dapat memberikan sesuatu yang berbeza daripada pembelajaran muzik biasa kerana peserta bukan sahaja belajar tentang muzik, tetapi turut memahami modul perniagaan dan erti komersial.
“Kita mahu melahirkan insan kreatif yang berkualiti serta tahu bagaimana mengurus dan mengembangkan produk mereka supaya kerjaya itu dapat bertahan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Menerusi inisiatif Creative Industry Academy @ MMU, sebanyak lapan program diperkenalkan merangkumi bidang industri kreatif, produksi, media digital, teori muzik, komposisi, perniagaan muzik serta latihan vokal.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DSR International Academy, Dr. Shalieza Razali berkata, program yang ditawarkan turut membuka peluang kepada peserta mengumpul kelayakan menerusi sistem kredit mikro yang boleh digunakan untuk pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
“Setiap program yang disertai akan dikaitkan dengan silibus MBA dan peserta yang mengikuti sesuatu subjek boleh menggunakan kredit mikro berkenaan apabila melanjutkan pengajian dalam program MBA,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan DSR International Academy, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata, kerjasama tiga pihak itu bertujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja berbakat, malah memiliki kemahiran dan kelayakan profesional untuk membina kerjaya dalam industri kreatif.
Menurutnya, pendekatan latihan yang diperkenalkan turut memberi penekanan kepada laluan kerjaya menerusi konsep train and place, bagi memastikan peserta bukan sahaja menerima latihan serta pensijilan, malah mempunyai peluang pekerjaan selepas menamatkan program.
“Visi kami adalah untuk melahirkan generasi berpendidikan, khususnya yang mempunyai kemahiran dan kelayakan tinggi, menerusi gabungan kepakaran universiti, pengalaman industri dan peranan DSR dalam memastikan program ini memenuhi keperluan pensijilan.
“Ramai mempunyai bakat dan pengalaman, tetapi tidak mempunyai pensijilan untuk mengiktiraf kemahiran mereka, jadi kami mahu menggabungkan pengalaman itu dengan kelayakan yang boleh membantu perkembangan kerjaya,” katanya. – UTUSAN











