KUALA LUMPUR: Pengacara dan selebriti popular, Awal Ashaari mendedahkan dia dan isterinya, Scha Alyahya sepakat untuk tidak menjadikan platform media sosial sebagai medium meluahkan masalah atau menyindir pasangan masing-masing.
Katanya, prinsip itu sudah menjadi perjanjian antara mereka bagi memastikan sebarang perselisihan faham diselesaikan secara peribadi tanpa melibatkan perhatian orang luar.
“Saya sudah berkahwin dengan isteri saya selama 14 tahun. Dia seorang wanita yang tidak akan menggunakan media sosial untuk menyuarakan masalahnya dengan saya.
“Dia juga selalu berpesan, jika kita mempunyai masalah suami isteri, jangan gunakan media sosial untuk meluahkannya.Jadi, saya tahu perkara yang ditulisnya di media sosial tidak ada kena-mengena dengan saya.
”Begitu juga jika saya menulis sesuatu di media sosial, dia tahu perkara itu bukan ditujukan kepadanya kerana memang itulah peraturan dalam perkahwinan kami. Saya tidak akan menulis tentang dia di media sosial dan dia juga tidak akan menulis tentang saya,” katanya.
Awal berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran telemovie Like & Latte terbitan UTV Original di Ibu negara, semalam.
Berkongsi lanjut, Awal berkata, kesepakatan itu membuatkan dia tidak mudah membuat andaian atau menganggap setiap hantaran isterinya di media sosial mempunyai kaitan dengan dirinya.
Dalam pada itu, Awal turut mengakui dia dan Scha tidak terkecuali daripada berbincang mengenai isu semasa, termasuk perkara yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Bagaimanapun, perbincangan tersebut lebih bersifat peribadi apabila mereka saling bertukar pandangan dan melihat sesuatu isu daripada perspektif masing-masing, tanpa merasakan keperluan untuk memberikan komen secara terbuka.
“Kalau ada isu yang sedang tular, saya juga berbual mengenainya dengan dia. Kami akan bertanya antara satu sama lain, kalau awak, apa yang awak akan buat? Kalau saya pula, apa yang saya akan buat? Betulkah individu berkenaan melakukan perkara tersebut?
“Namun, apabila kita sudah berada pada usia seperti sekarang, cara kita melihat dan menerima pandangan orang muda sudah berbeza.
“Kita sudah lebih berdamai dengan takdir. Kalau orang muda mungkin berasakan sesuatu perkara itu tidak boleh berlaku dan perlu diperjuangkan, tetapi bagi kami, kadang-kadang lebih baik bersikap, tidak mengapalah.
“Pada usia begini, kami lebih banyak bersangka baik atau berhusnuzon,” katanya.











