Kulit kerbau lebihan sembelihan jadi sumber rezeki

Kulit kerbau lebihan sembelihan jadi sumber rezeki

Kulit kerbau
ZULKIFLI Ahmad menunjukkan belulang siap diproses untuk dijual mendapat permintaan tinggi penggemar masakan tradisional Melayu Pahang. – UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kulit kerbau dan lembu yang suatu ketika dahulu dianggap sisa sembelihan sebenarnya mempunyai nilai tersendiri apabila diproses menjadi belulang, makanan tradisional Melayu yang terkenal dengan ketahanan simpanan serta dipercayai menjadi sumber tenaga.

Warisan makanan orang lama itu terus dipertahankan seorang bapa tiga anak dari Lanchang, Zulkifli Ahmad, 48, yang menjadikan belulang sebagai sumber rezeki sejak lapan tahun lalu, sekali gus berusaha memastikan hidangan tradisional itu tidak hlang ditelan zaman.

Zulkifli berkata, dia mula mengusahakan pemprosesan belulang selepas melihat permintaannya erhadap kulit haiwan sembelihan itu semakin meningkat dalam kalangan penggemar masakan tradisional dan pemilik restoran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kulit sekor seekor diproses sepenuhnya secara manual menggunakan kaedah lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Katanya, proses penyediaan belulang memerlukan kesabaran tinggi apabila kulit yang diperoleh dipotong kepada empat bahagian sebelum disalai menggunakan kayu getah menerusi dua kaedah, sama ada dibakar bersama bulu atau bahagian dalam sahaja sehingga benar-benar masak.

Kulit yang selesai disalai kemudian direndam lebih 24 jam sehingga mengembang semula sebelum dikikis, dipotong kecil berbentuk dadu dan direbus kira-kira tiga jam sehingga lembut serta sedia dijual atau dimasak.

“Kalau tergesa-gesa, belulang akan jadi keras dan liat.,” jelasnya.

Belulang yang dihasilkan boleh dijadikan 11 jenis menu tradisional, antaranya Sambal Tumis Belulang Cili Kampung, Sambal Tumis Belulang Cili Api, Lemak Cili Api Belulang dan Petai, Lemak Cili Api Belulang dan Rebung Buluh serta Sambal Tumis Belulang dan Petai.

Menurutnya, belulang dipercayai antara makanan tradisi masyarakat Melayu termasuk pahlawan Pahang seperti Tok Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah kerana sifatnya yang tahan lama.

Belulang kerbau dan lembu dijual mengikut sukatan mangkuk, iaitu RM5 bagi satu mangkuk, RM10 untuk dua mangkuk seberat kira-kira 600 gram, manakala empat mangkuk seberat sekitar 1.2 kilogram dijual RM20, bergantung kepada saiz dan hasil pemprosesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini