200 warisan, al-Quran tulisan tangan disimpan, elak banjir

200 warisan, al-Quran tulisan tangan disimpan, elak banjir

Al-Quran tulisan tangan
PONDOK Pok Kob di Kampung Pantai, Chenor pernah ditenggelami banjir sedalam hampir empat meter ketika banjir besar pada Januari 2021 sebelum sekali lagi dilanda bencana sama pada Disember tahun berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Naskhah Al-Quran tulisan tangan berusia 300 tahun antara 200 barangan warisan yang perlu dipelihara daripada bencana banjir di Madrasah Raudhah AL-Muhibbin, Chenor, di sini yang dikenali sebagai Pondok Pok Kob terutama ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Selain manuskrip kitab suci itu, antara barangan lain termasuklah artifak berkaitan tokoh ulama, pahlawan Melayu Pahang, kitab lama, pakaian dan senjata tradisional.

Mudirnya, Barkhatullah Mohd. Bahari, 48, berkata, Pondok Pok Kob mempunyai lebih 30 buah pondok bukan sekadar institusi pengajian agama, malah berperanan sebagai pusat dakwah yang menghimpunkan ulama dari dalam dan luar Nusantara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ma­nuskrip al-Quran tulisan tangan itu antara yang paling berharga selain kitab lama serta peninggalan tokoh ulama terkenal termasuk Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong yang dipamerkan di Galeri Ulama Awla.

Di situ turut tersimpan tempat letak serban, rotan gelung dan kendi tempat wuduk peninggalan Tokku Paloh serta Abdul Rahman Limbong, selain mangkuk tembaga bertulisan khat Arab yang berusia lebih 300 tahun

“Kita turut menyediakan rakit bagi memindahkan barangan penting sekiranya laluan darat terputus atau kawasan pondok mula ditenggelami air. Pelajar pula sudah diarahkan mengemas barangan peribadi dan bersedia pulang jika keadaan memerlukan.

“Pada masa sama, kami perlu memastikan semua khazanah ulama dapat diselamatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Barkhatullah menambah, madrasah yang terletak di Kampung Pantai itu sebelum ini pernah ditenggelami banjir besar sedalam sehingga empat meter pada Januari 2021 dan berdepan kejadian berulang pada Disember tahun sama.

“Pengalaman berdepan banjir besar menyebabkan pihaknya mengambil langkah lebih awal bagi memastikan keselamatan pelajar, selain menyelamatkan koleksi bersejarah yang disimpan di institusi berkenaan.

“Banjir sebelum ini akibatkan kerosakan bangunan, peralatan pelajar dan kitab-kitab membuktikan persediaan awal amat pen­ting bagi mengelakkan kehilangan khazanah sejarah yang sukar diganti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini