PETALING JAYA: Penantian panjang Gillian Lim untuk berdiri di podium tertinggi berakhir apabila pemain boling negara itu menghadiahkan pingat emas dalam acara perseorangan wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2026 di Doha, Qatar, kelmarin.
Gillian mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan 1,368 jatuhan pin untuk mengungguli acara itu, mengatasi Lu Yi Rou dari Taiwan yang mengumpul 1,337 jatuhan pin, manakala wakil Korea Selatan, Baek Seungja menghuni tempat ketiga dengan 1,328 jatuhan pin.
Anak jati Sarawak itu berkata, dia berasa amat lega dan gembira kerana berjaya melangkah setapak lebih jauh untuk meraih emas selepas beberapa kali terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada penyertaannya sebelum ini.
“Ia satu perasaan yang luar biasa dan sejujurnya, saya berasa sangat lega. Selepas memenangi tiga pingat perak, saya benar-benar mahu mengambil langkah seterusnya dan akhirnya berdiri di podium tertinggi.
“Saya sangat gembira kerana segala kerja keras selama ini membuahkan hasil dan pingat emas ini cukup bermakna buat saya,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan Gillian menuju kejayaan itu bukanlah mudah apabila dia berdepan insiden hidung berdarah ketika game pertama, namun enggan membiarkan keadaan tersebut menjejaskan tumpuan dan rentak persembahannya.
Menurutnya, dia memilih untuk kekal tenang, memberi perhatian kepada proses pemulihan dan mengharungi setiap balingan satu demi satu tanpa terlalu memikirkan cabaran yang menanti.
“Saya tahu masih banyak permainan perlu diharungi, jadi saya hanya fokus untuk kembali pulih, bersabar dan mengambil satu balingan pada satu-satu masa.
“Saya mengingatkan diri sendiri supaya terus berjuang dan memberikan peluang kepada diri untuk mengubah keadaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kemenangannya itu Gillian, 27, berharap, pingat emas itu mampu menjadi suntikan motivasi kepada rakan sepasukan yang lain untuk terus memburu kejayaan dan membawa pulang lebih banyak pingat buat Malaysia.-UTUSAN











