NIBONG TEBAL: Seramai 95 mangsa daripada 26 keluarga terperangkap dalam kejadian banjir di sekitar Nibong Tebal dan Sungai Jawi susulan hujan lebat berterusan malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kesemua mangsa berjaya diselamatkan sebelum dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sungai Kecil.
Katanya, kejadian pertama dilaporkan berlaku di Lot 10116, Jalan Sekolah, Kampung Sekolah, Nibong Tebal pada pukul 7.15 malam.
”Paras air di kawasan berkenaan dianggarkan mencecah lima meter dan beberapa buah rumah dinaiki air sehingga menyebabkan penghuni terperangkap,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, katanya, seramai 24 mangsa daripada tiga keluarga turut terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Sethu, Sungai Jawi.
Katanya, kejadian itu dilaporkan pada pukul 10.34 malam dengan paras air dianggarkan setinggi tiga kaki akibat hujan lebat berterusan. – UTUSAN










