TEMERLOH: Kira-kira 300 keluarga di Kampung Batu Kapor, di sini bimbang terhadap ancaman banjir yang berisiko melanda kawasan perumahan mereka berikutan projek tebatan banjir di Sungai Semantan masih belum siap sepenuhnya.
Ketua Kampung Batu Kapor, Muhammad Marezi Suhaimi berkata, projek tersebut diharap dapat disegerakan kerana sehingga kini penduduk masih berdepan bencana itu akibat limpahan sungai terutama di kawasan rendah.
“Penduduk perlu sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan banjir pada November dan Disember ini. Kumpulan WhatsApp yang diwujudkan juga menjadi saluran penting untuk berkongsi maklumat serta perkembangan semasa.
“Kita berharap semua penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk sebelum membuat persediaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau menambah, selain Kampung Batu Kapor, Taman Sepalit dan Kampung Sungai Buloh turut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kerana terletak dalam Lembangan Sungai Semantan.
Katanya, kawasan berhampiran masjid di Kampung Gajah Mati juga berpotensi terjejas sekiranya berlaku limpahan sungai, terutama ketika paras air meningkat dengan mendadak.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Batu Kapor, Mat Rasul Yurit, pula meminta penduduk sentiasa peka terhadap laporan media rasmi kerajaan dan perkembangan cuaca sepanjang musim tengkujuh.
“Kami bimbang dengan keadaan cuaca sekarang, lebih-lebih lagi apabila musim tengkujuh mula melanda. Penduduk perlu sentiasa mengikuti laporan rasmi dan tidak menunggu sehingga air naik ke kawasan rumah sebelum mengambil tindakan.
“Pengalaman banjir besar pada Disember 2021 masih berbekas dalam ingatan penduduk dan ada yang belum pulih sepenuhnya daripada kesan serta kepayahan yang ditanggung ketika itu,” ujarnya. – UTUSAN











