70,195 PATI ditahan sejak Januari lalu

70,195 PATI ditahan sejak Januari lalu

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 70,195 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi 11,808 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tempoh sama seramai 155,498 individu diperiksa, manakala 328,744 individu mendaftar menerusi Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 243,501 individu telah pulang ke negara asal melalui program berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh sama, seramai 52,585 PATI telah diusir selepas melalui proses perundangan dan dokumentasi berkaitan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, JIM terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan terhadap warga asing yang melanggar syarat imigresen, termasuk tinggal melebihi tempoh dibenarkan, menyalahgunakan pas atau berada di negara ini tanpa dokumen sah.

Katanya, operasi dijalankan secara bersasar dan berasaskan risikan dengan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi berlaku pelanggaran undang-undang imigresen termasuk kawasan penempatan, premis pekerjaan, perniagaan serta lokasi tumpuan warga asing.

Jelasnya, pemantauan turut mengambil kira pelbagai modus operandi yang dikenal pasti antaranya penyalahgunaan kemudahan pas, penggunaan premis sebagai tempat penempatan atau transit serta penggajian warga asing tanpa kebenaran sah.

“Maklumat daripada aktiviti risikan, pemantauan dan kerjasama antara agensi digunakan bagi merancang tindakan penguatkuasaan lebih berfokus termasuk mengenal pasti individu serta pihak yang disyaki terbabit dalam pelanggaran undang-undang imigresen,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, JIM turut melaksanakan operasi secara kendiri dan bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ujar beliau, sebanyak 1,674 operasi bersepadu dilaksanakan bersama agensi berkaitan, selain 3,424 pemeriksaan inspektorat penguatkuasaan melibatkan premis di seluruh negara bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, kerjasama antara agensi membolehkan penyelarasan tindakan lebih menyeluruh termasuk mengenal pasti penyalahgunaan premis, penggajian warga asing tanpa kebenaran serta penglibatan pihak yang melindungi atau memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.

“JIM mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada masyarakat berkaitan aktiviti yang disyaki melanggar undang-undang imigresen melalui saluran rasmi Jabatan untuk penelitian dan tindakan sewajarnya.

“Kami juga akan terus memperkukuh kaedah pengesanan, aktiviti risikan serta kerjasama strategik antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan imigresen di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini