PULO masih harap sertai dialog damai Selatan Thai

PULO masih harap sertai dialog damai Selatan Thai

KASTURI MAHKOTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) berhasrat turut serta dalam fasa baharu proses dialog damai Selatan Thailand yang dijangka diadakan pada akhir Disember atau awal tahun depan.

Presidennya, Kasturi Mahkota percaya, penyertaan kumpulan pejuang pembebasan Selatan Thailand lain dan suara masyarakat tempatan dalam rundingan damai berikutnya perlu diberi perhatian yang lebih luas oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan sekiranya proses damai hanya tertumpu kepada satu organisasi atau saluran terdapat risiko bahawa sebahagian daripada realiti politik Selatan Thai tidak diwakili.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, kami melihat bahawa dialog pada masa hadapan perlu bergerak ke arah proses yang lebih inklusif dengan melibatkan semua pihak yang relevan dan mempunyai mandat jelas daripada kepemimpinan masing-masing.

“Kepercayaan juga tidak boleh dibina hanya melalui kenyataan rasmi. Ia perlu dibina melalui pertemuan, komunikasi berte­rusan, penghormatan terhadap setiap pihak dan kesediaan untuk mendengar walaupun pandangan yang dikemukakan mungkin berbeza,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Sebagai rekod, proses dialog damai Selatan Thai sekarang ini hanya melibatkan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP-RTG) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) manakala Malaysia kekal sebagai fasilitator.

Selain BRN dan PULO, terdapat sekurang-kurangnya dua lagi kumpulan pejuang pembebasan yang aktif di Selatan Thailand iaitu Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP).

Mengulas kunjungan fasilitator baharu Malaysia, Leftenan Jene­ral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal ke Thailand baru-baru ini, beliau berkata, persoalan lebih besar bukan sekadar siapa fasilitatornya tetapi bagaimana proses damai itu akan dibawa ke hadapan.

Kasturi berpendapat kejayaan dialog damai itu tidak boleh diukur berdasarkan kepada berapa banyak mesyuarat diadakan.

Sebaliknya ia ditentukan sama ada rundingan itu berjaya me­ngurangkan keganasan, membina kepercayaan, membuka ruang politik dan akhirnya membawa kepada satu persetujuan yang boleh diterima bersama.

Beliau yang kini tinggal di Sweden berkata, persoalan penting sekarang adalah sama ada semua pihak bertelagah bersedia menggunakan peluang rundingan fasa seterusnya untuk membuka halaman baharu proses damai itu.

“PULO percaya bahawa jalan menuju keamanan mungkin panjang dan penuh cabaran tetapi selama mana pintu rundingan masih terbuka, usaha untuk mencari penyelesaian politik secara aman mesti diteruskan.

“Kita berharap fasilitator baharu Malaysia akan mengambil pendekatan yang terbuka, neutral, inklusif dan berorientasikan penyelesaian.” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan Thailand dapat melihat dialog damai bukan semata-mata sebagai isu keselamatan tetapi satu proses politik yang memerlukan keberanian untuk berbincang persoalan asas yang menjadi punca konflik.

Kasturi berkata, pertemuan Ahmad Norihan dengan beberapa pihak di Bangkok baru-baru ini menunjukkan bahawa Malaysia mahu meneruskan peranannya sebagai fasilitator dan berusaha memahami kedudukan serta pandangan semua pihak yang terlibat sebelum proses dialog seterusnya diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini