TAPAH: Bermula dengan melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan, membina rumah dan memotong rumput, seorang lelaki Orang Asli kini berjaya mengembangkan perniagaan pembinaan sehingga memiliki beberapa jentera berat.
Pengurus Salim Rimba Bara Construction, Raja Salim Abdul Rashid, 48, berkata, kejayaan itu hasil pengalaman dan kesungguhan membina perniagaan sejak usia muda meskipun hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, beliau yang mempunyai darah kacukan India dan Orang Asli dilahirkan di Batu 14, Jalan Pahang-Tapah-Cameron Highlands, sebelum mula mengumpul pengalaman dalam pelbagai pekerjaan bagi mempelajari selok-belok bidang pembinaan.
“Sejak remaja, saya melakukan pelbagai kerja termasuk membersih kawasan, membina rumah dan memotong rumput. Daripada situ, saya belajar banyak perkara mengenai bidang pembinaan serta selok-belok perniagaan.
“Pada 2001, saya mula bekerja sebagai subkontraktor dengan memohon projek-projek kecil berkaitan penyelenggaraan jalan, longkang dan parit, selain membaik pulih serta membina rumah baharu untuk masyarakat Orang Asli di sekitar Tapah menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.
Menurut beliau, perniagaan yang diusahakan secara berperingkat itu semakin berkembang sehingga berjaya memiliki syarikat pembinaan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah gred G2.
Katanya, hasil kerjasama bersama ahli keluarga, perniagaan berkenaan turut berkembang dengan pemilikan beberapa jentera berat termasuk traktor, lori, jengkaut dan jengkaut belakang serta trak pikap bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan.
Jelasnya, jentera berkenaan amat penting terutama ketika musim hujan bagi melaksanakan kerja-kerja membabitkan jalan, cerun dan kawasan berisiko mengalami tanah runtuh serta pokok tumbang di laluan Tapah-Cameron Highlands. – UTUSAN











