30 tahun berdepan banjir, para selamatkan barang rumah

30 tahun berdepan banjir, para selamatkan barang rumah

ROSLAN Mohammad mula membawa naik barang rumah ke atas para sebagai persiapan menghadapi musim banjir di Kampung Bukit Nyior, Setiu, Terengganu. – MINGGUAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang penduduk di Kampung Bukit Nyior, di sini membina para setinggi 1.5 meter di dalam rumah untuk menyelamatkan barangan daripada tenggelam banjir yang kerap melanda sejak 30 tahun lalu.

Roslan Mohammad, 57, berkata, para itu dibina selepas dia bersama ahli keluarganya tidak lagi mampu mengganti barangan seperti tilam, katil, perabot dan barangan elektrik yang rosak selepas setiap kali ditenggelami bah.

“Setiap kali musim tengkujuh kami memang bersiap sedia, walaupun saya sudah tinggikan rumah 1.5 meter, banjir boleh mencecah sehingga dua meter dan masuk ke dalam rumah. Barang yang baru dikemas pun kadangkala tidak sempat diselamatkan apabila air naik dengan cepat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap tahun kita terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli semula barangan rumah yang rosak. Sebab itu saya mengambil keputusan membina para supaya tilam, katil dan perabot boleh diletakkan di tempat lebih tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Roslan berkata, para berkenaan dibina menggunakan kayu yang dicari dari hutan dan dijadikan struktur separuh kekal yang mana sebelum ini hanya disediakan tempat penyimpanan sementara setiap kali musim banjir.

Menurutnya, rumah yang didiami sembilan ahli keluarga itu turut berdepan masalah sistem saliran yang didakwa tidak mampu menampung aliran air, terutama selepas kerja pembinaan jalan dilakukan sejak 1990-an.

“Kalau hujan lebat, air akan naik dan apabila hujan berhenti barulah ia mula surut. Rumah kami antara yang paling awal terjejas setiap kali banjir. Memang letih apabila perkara sama berulang setiap tahun.

“Saya dan ahli keluarga akan hanya membawa barangan penting sahaja ketika berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) surau Bukit Nyior sekiranya keadaan banjir semakin buruk,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan, termasuk menaik taraf sistem saliran dan membina pembetung lebih besar supaya aliran air dapat disalurkan dengan lebih lancar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini