LONDON: Pengendali England, Thomas Tuchel yakin skuad Three Lions mampu menamatkan rekod 44 perlawanan tanpa kalah Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi terakhir Kumpulan A3 Liga Negara-Negara UEFA di Madrid, awal pagi esok.
Tuchel menegaskan anak buahnya sudah bersedia untuk mencipta kejutan ke atas juara dunia dan Eropah itu, yang terus mempamerkan prestasi cemerlang tanpa mengalami kekalahan dalam perlawanan kompetitif sejak Mac 2023.
Keyakinan pengendali dari Jerman itu hadir selepas England menewaskan Croatia 2-1 di Wembley, awal pagi semalam, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA pada Mac depan.
Bagaimanapun, beliau mengakui Sepanyol bukan lawan mudah, namun percaya kemenangan ke atas pasukan kendalian Luis de la Fuente itu mampu memberikan suntikan semangat besar kepada England.
“Sepanyol adalah pasukan yang seolah-olah sudah lupa bagaimana rasanya kalah. Jadi, sudah tentu kami memerlukan persembahan terbaik dan jika mampu melakukannya, ia akan memberikan suntikan semangat besar kepada kami.
“Saya fikir kami sudah berada pada tahap itu dan percaya kami bersedia untuk menang di Madrid.
“Saya tahu apa yang diperlukan dan tiada siapa boleh menjamin kemenangan, tetapi inilah masanya untuk menguji sejauh mana kemampuan kami, melangkaui batas serta membuktikan kemampuan sebenar pasukan,” katanya selepas membimbing England mencatat kemenangan 2-1 ke atas Croatia di Stadium Wembley, awal pagi semalam.
Sepanyol yang menewaskan Republik Czech 2-0, awal pagi semalam, kini mengungguli Kumpulan A3 dengan 15 mata, tiga mata mengatasi England di tangga kedua.
Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, namun pertembungan di Madrid tetap penting bagi menentukan kedudukan teratas kumpulan yang menawarkan kelebihan dalam undian pusingan kalah mati.
England sebelum ini tewas 2-3 kepada Sepanyol di Wembley pada September lalu, meskipun berpeluang mendahului 3-1 sekiranya kapten pasukan, Harry Kane berjaya menyempurnakan sepakan penalti. – AGENSI











