Peraturan sekat kebebasan mahasiswa dibatalkan – PM

Peraturan sekat kebebasan mahasiswa dibatalkan – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan para pelatih ketika menghadiri program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan cadangan di Parlimen dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi untuk membatalkan sebarang peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya memansuhkan peraturan yang menghalang mahasiswa daripada menyuarakan pandangan dan teguran secara terbuka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baru-baru ini saya sudah beritahu KPT, peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa berbicara itu harus dihapuskan.

“Jadi dalam tempoh satu dua minggu ini kita akan bentangkan di Parlimen untuk membatalkan mana-mana peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara, menegur, termasuk menegur Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Regimen 515 Askar Wataniah di sini semalam.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga mengandungi unsur ugutan atau hasutan untuk melakukan jenayah.

Beliau berkata, mahasiswa bebas mengkritik keupayaan atau kebijaksanaannya dalam mentadbir negara kerana perkara itu merupakan sebahagian daripada hak untuk menyuarakan pandangan.

Katanya, golongan muda juga perlu diberikan ruang untuk mengemukakan soalan, pandangan dan teguran termasuk mengenai perkara yang tidak dipersetujui kerajaan.

“Dalam acara Temu Anwar, ada yang tanya macam-macam dan saya terpaksa layan dan dengar. Ada saya setuju, ada saya tak dapat setuju.

“Ada yang pandangannya yang tidak menyenangkan. Tetapi ini ruang bagi anak-anak muda suarakan. Kalau betul-betul kita kasih kepada anak-anak kita, kita mesti beri ruang dia tanya dan belajar,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Anwar berkata, Malaysia perlu mengambil kira kepentingan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat dalam menguruskan hubungan diplomatik de­ngan Amerika Syarikat (AS).

Ia meskipun kedua-dua negara mempunyai perbezaan pendirian dalam beberapa isu antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, hubungan perdagangan de­ngan kuasa ekonomi dunia itu tidak boleh dipandang ringan kerana sebarang keputusan yang dibuat boleh memberikan kesan langsung kepada rakyat.

Menurutnya, Malaysia tetap berpegang teguh pada pendirian dalam isu Palestin namun pada masa sama perlu memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara.

Beliau berkata, tindakan mengambil pendekatan konfrontasi tanpa mempertimbangkan implikasi ekonomi berisiko menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.

“Kalau kita menentang mereka, tidak mengapa. Tetapi yang kehilangan pekerjaan nanti beribu-ribu, beratus-ratus ribu orang,” katanya.

Anwar berkata, perbezaan pendirian dalam isu antara­bangsa tidak seharusnya menghalang Malaysia daripada meneruskan hubungan ekonomi yang memberikan manfaat kepada negara.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini