PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) junior dianggap antara satu berani yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi memulihkan salah laku pelajar sekolah yang semakin membimbangkan.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, cadangan PLKN Junior di mana sebuah kem latihan khas selama tiga bulan yang menumpukan kepada pembangunan sahsiah, disiplin serta ketahanan mental dan fizikal pelajar.
“Melalui program itu, pelajar yang dikenal pasti bermasalah akan dibimbing oleh jurulatih dan guru bersara berpengalaman dalam suasana terarah, tanpa gangguan media sosial atau permainan video.
“Latihan berfokus kepada pembentukan karakter, semangat hormat-menghormati, serta mengenal potensi diri untuk berjaya,” katanya dalam kenyataan.
Anuar berkata, walaupun pelaksanaan program seperti PLKN junior memerlukan peruntukan besar dan tenaga kerja mencukupi, namun pelaburan tersebut dianggap berbaloi demi menyelamatkan generasi muda daripada terus terjebak dalam kancah salah laku lebih serius seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah.
“Ceramah, leteran, amaran dan hukuman gantung sekolah bukan lagi solusi berkesan. Sudah tiba masanya langkah lebih berani dan menyeluruh dilaksanakan bagi memulihkan semula masa depan murid-murid yang tersasar hala tuju,” katanya
Menurut beliau, tinjauan terhadap beberapa kajian lepas mendapati masalah salah laku dalam kalangan pelajar berpunca daripada pelbagai faktor dan tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan tunggal.
Katanya, antara punca utama termasuk tekanan hidup akibat kemiskinan, keretakan institusi keluarga, pengaruh media sosial serta kelemahan disiplin diri murid itu sendiri.
Beliau berkata, dapatan tersebut, sebahagian pelajar bertindak agresif atau melanggar peraturan sekolah kerana datang daripada keluarga miskin yang tidak mampu memberi perhatian penuh terhadap anak-anak akibat kesempitan hidup.
“Dalam kes sebegini, bantuan ekonomi kepada keluarga berkenaan perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan tekanan sosial yang mendorong kepada salah laku.
“Sementara itu, bagi salah laku yang berpunca daripada sikap murid sendiri seperti degil, melawan guru atau tidak berdisiplin, langkah pemulihan yang lebih tegas dan tersusun perlu dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN










