Suami pegawai AKPS didakwa membunuh

Suami pegawai AKPS didakwa membunuh

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suami kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di sebuah kuarters kerajaan di Nilai pada 15 Oktober lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 39, berikutan pertuduhan membunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kelompok 6, Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira pukul 7 malam pada 15 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sarip.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat.

Dalam pada itu, abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, turut hadir bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Sebelum ini, Norhazwani ditemukan maut di unit kuarters berkenaan sebelum suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher selain mengalami kecederaan tikaman di bahagian tepi perut dan pipi.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga selepas mangsa dikatakan menyatakan hasrat untuk bercerai.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia enam dan lima tahun.

Selain itu, semakan polis sebelum ini mendapati dia mempunyai 16 rekod jenayah lampau, termasuk 10 kes berkaitan narkotik dan enam lagi membabitkan kesalahan pecah rumah, mencuri serta memiliki barang curi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini