PUTRAJAYA: Pelakon, Azhan Rani, tidak menyangka kemenangan Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) akan berpihak kepadanya.
Malah, tambah Azhan, dia sudah mengucap tahniah kepada keluarga Allahyarham Jalil Jamid terlebih dahulu melihat kepada bakat yang ditunjukkan legenda itu semasa hayatnya.
“Saya memang jangkakan arwah abang Jalil yang akan menang. Awal-awal lagi saya sudah titipkan ucapan tahniah kepada anaknya yang mewakili arwah dalam media sosial.
“Malah, saya sendiri hampir tidak hadir ke majlis ini kerana perlu menguruskan hal keluarga dan ibu.
“Ketika bersiap untuk ke acara ini pun saya sempat buka semula ‘blazer’ dan terfikir tak perlu pergi, datang sekadar nak tepuk tangan sahaja,” katanya.
Azhan ditemui semasa Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA26) di PICC, baru-baru ini.
Tercalon menerusi dua drama iaitu Wok dan Seribu Tahun, Azhan juga tidak dapat menangkap pengumuman kemenangan dengan jelas dan sempat bingung sebelum ke pentas.
“Jujurnya, masa naik atas pentas saya langsung tidak tahu drama mana satu yang menang sebab tak dengar pengumuman tadi!
“Bila masuk ke belakang pentas, barulah saya tahu menang sebab drama Wok.
“Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh tenaga produksi Wok dan Unifi TV serta rasa hormat setinggi-tingginya buat arwah Abang Jalil,” katanya. -UTUSAN











