ALOR SETAR: Seramai 224 penduduk di tiga daerah terpaksa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setelah kediaman mereka terjejas banjir sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, kesemua mangsa daripada 74 keluarga itu merupakan penduduk di Yan, Kuala Muda dan Pendang.
Yan merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 168 penduduk daripada 59 keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi; Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Eng dan Dewan Lestari Guar Chempedak.
Sementara itu, seramai 40 mangsa daripada sembilan keluarga berlindung di PPS Surau As Saadiah di Kuala Muda, diikuti 16 mangsa daripada enam keluarga di PPS Dewan KEDA Tanjung Setol di Pendang.
Sebanyak tujuh kampung terjejas dalam bencana itu antaranya Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras di Yan, Kampung Kepala Bukit; Kampung Guar Nenas; Kampung Guar Stesen dan Kampung Sungai Bongkok di Kuala Muda serta Kampung Tanjung Setol di Pendang. – UTUSAN











