ALOR SETAR: Sebanyak empat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini mengalami kelewatan akibat pelbagai masalah dalaman melibatkan kontraktor dilantik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, kerajaan negeri bagaimanapun kekal memastikan projek itu siap dalam tempoh ditetapkan selepas memperoleh lanjutan masa (EOT) baharu.
“Kerajaan negeri memberi komitmen penuh untuk menjayakan semua RTB bukan sahaja di Sungai Kedah, kerja-kerja seperti mempercepat proses pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan penguatkuasaan rizab sungai di semua RTB selesai dengan jayanya.
“Namun di sebalik itu terdapat isu tertentu seperti kekangan berpunca daripada kelemahan pengurusan dalaman kontraktor dilantik yang menyebabkan beberapa projek lewat di samping beberapa EOT dan ada kontraktor yang ditamatkan,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Dr. Mohd. Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan, kata beliau, tindakan penamatan kontrak hanya akan diambil sekiranya kontraktor gagal menunjukkan prestasi memuaskan atau menghadapi masalah kewangan seperti muflis.
“Apabila ada EOT, memang kontraktor tidak akan dikenakan denda dan tidak akan ditamatkan kontrak. Jadi kerajaan negeri terus komited dan ia dibuktikan memang kita boleh buat dalam jadual yang ditetapkan.
“Cuma bila ada kontraktor yang terpaksa ditamatkan kerana tidak ‘perform’ atau sebab muflis kita tak boleh hendak bertindak di luar daripada kuasa kita,” katanya.
Tambahnya, walaupun mengalami kelewatan namun RTB berkenaan dijangka siap mengikut jadual daripada EOT baharu yang dibenarkan kepada kontaktor.
“RTB Bandar Jitra Selatan dijangka siap Mac lepas namun mengalami sedikit kelewatan kerana masalah pemindahan utiliti. Sementara RTB Sungai Kedah/ Anak Bukit (Lencongan Sungai Baru) pula dijangka siap 14 Jun dengan kemajuan 92 peratus.
“Sungai Pendang (Pakej 1) pada 5 Ogos dengan kemajuan sebenarnya 66.73 peratus dan Sungai Pendang (Pakej 2), pada Disember nanti dengan kemajuan 74 peratus,” jelasnya. – UTUSAN










