PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor perlu mempertimbangkan perbelanjaan sebahagian daripada rizab negeri yang mencecah sehingga RM5.12 bilion supaya digunakan bagi mempercepatkan projek tebatan banjir yang kritikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, hal demikian perlu dilakukan apabila siri kejadian banjir kilat dan termenung berlaku di Selangor semakin kritikal dan memberi kerugian besar kepada rakyat.
Saya faham bukan semua rizab boleh dibelanjakan. Tetapi jika banjir yang merosakkan rumah, memusnahkan harta benda dan menjejaskan pendapatan rakyat bukan satu keadaan mendesak, apa lagi yang kerajaan tunggu?
Saya menggesa kerajaan menjelaskan berapa banyak rizab yang benar-benar boleh digunakan dan mempertimbangkan sebahagiannya untuk mempercepat projek tebatan banjir kritikal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Malah, beliau mempertikai kerajaan negeri apabila berbangga dengan rizab kewangan yang mencecah RM5.12 bilion sedangkan banjir masih berulang setiap tahun.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Puncak Alam, Shah Alam dan Klang kembali dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sejak petang tadi, sekali gus menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.
Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, antara kawasan yang terjejas ialah laluan di Persiaran Puncak Alam 6 di Proton bersebelahan Tropicana Alam menghala ke Eco Grandeur, Alam Suria serta kawasan sekitar Hillpark, Puncak Alam.
Sementara di Shah Alam Portal Pintar Lensa Shah Alam (i-LenSA) melaporkan paras air di Taman Desa Kemuning dan Bukit Rimau telah melebihi paras bahaya.
Dalam pada itu, nuratikajasni_aj141 menyenaraikan beberapa kawasan lain yang dilaporkan mula dinaiki air termasuk lampu isyarat Bandar Bukit Raja, Central i-City, Pasar Besar Meru, Kota Kemuning serta laluan dari Klang ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Selain itu, Nurul Syazwani turut menyarankan kerajaan negeri Laporan Keberhasilan Belanjawan Selangor yang dibentangkan secara berkala kepada Dewan Negeri.
“Setiap tahun kita mendengar pengumuman peruntukan berjuta-juta ringgit. Tetapi berapa ramai penerima bantuan yang benar-benar berjaya meningkatkan pendapatan? Berapa ramai penghuni perumahan rakyat berjaya memiliki rumah?
“Berapa banyak kawasan banjir yang berjaya dikurangkan risikonya? Laporan itu perlu menunjukkan jumlah peruntukan, perbelanjaan sebenar, kemajuan projek dan hasil yang benar-benar dicapai,” tegasnya. – UTUSAN











