PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) memuktamadkan keputusan hanya bertanding tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di 21 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN yakin kerjasama itu mampu memperkukuh gagasan penyatuan ummah.
Beliau berkata, kerjasama itu dapat membawa perubahan kepada pencapaian PN pada PRN kali ini.
“Ya (muktamad). Kita menyambut baik pengumuman BN dan yakin kerjasama ini akan memperkukuh gagasan penyatuan ummah serta mampu membuat lonjakan keputusan PRN Melaka nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, BN mengumumkan senarai 21 calon yang akan bertanding pada PRN Melaka Ke-16 dengan lapan daripadanya merupakan muka baharu.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pemilihan calon baharu itu mengambil kira beberapa faktor termasuk memastikan kesinambungan khidmat kepada rakyat serta memberi peluang kepada individu lain memikul amanah sebagai wakil rakyat.
Tuan Ibrahim memaklumkan, PN dijadualkan mengumumkan senarai calon pada 28 atau 29 Oktober ini iaitu minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.
“Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya.
Tuan Ibrahim menjelaskan, hubungan Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan wujudnya kerjasama antara kedua-dua pihak sebelum ini.
“Kita lihat juga PH pun ada kerjasama dengan Bersatu dan ia membongkar kerjasama belakang tabir selama ini,” katanya. – UTUSAN











