WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Ahad bahawa tiada serangan akan dilancarkan terhadap Iran sebelum hujung minggu berakhir.
“Tiada serangan akan dilancarkan hari ini,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di luar Rumah Putih.
Sebelum berlepas ke Michigan bagi menghadiri acara kempen, Trump mengulas kepada sekumpulan wartawan lain di Pangkalan Bersama Andrews di Maryland mengenai memorandum risikan yang dikeluarkan pada Jumaat berhubung rancangan Iran untuk menyasarkan rakyat Amerika di Asia Barat.
“Terdapat dua set laporan risikan yang sangat berbeza, saya mempunyai kedua-duanya,” katanya.
“Kami mempunyai risikan yang sangat canggih mengenai Iran dan seperti yang anda tahu, kami sedang mencapai kemajuan yang sangat baik dalam menangani Iran,” tambahnya.
Kenyataan terbaharu Trump mengenai Iran, selain langkah seperti pemindahan kakitangan kedutaan AS, mendorong sesetengah pihak percaya bahawa beliau merancang melancarkan lebih banyak serangan terhadap Iran dalam masa terdekat.
“Adakah saya mencapai perjanjian dengan mereka atau menghapuskan mereka? Itulah satu-satunya persoalan,” katanya dalam panggilan telefon kepada rancangan Sunday Morning Futures terbitan Fox News.
Presiden itu tidak mengulas mengenai perkembangan rundingan, tetapi beberapa media melaporkan bahawa delegasi Qatar berada di Iran pada Ahad dalam usaha menghidupkan semula rundingan diplomatik antara AS dengan Republik Islam itu.
Trump pada Sabtu berkata bahawa Washington mungkin menyerang Iran seawal Ahad atau mencapai perjanjian besar dan hebat dengan Teheran, susulan laporan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk melancarkan semula serangan terhadap Republik Islam itu. – AGENSI











