Dua anak masih tak tahu ibu mati dibunuh bapa

Dua anak masih tak tahu ibu mati dibunuh bapa

MARLIZA Ibrahim bersama dua anak Allahyarham Norhazwani menunjukkan gambar arwah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kakak kepada seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dibunuh kediamannya di Kompleks Perumahan Awam dekat Nilai, Negeri Sembilan malam tadi tidak sanggup untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada dua anak arwah adiknya itu.

Marliza Ibrahim, 48, berkata, dia berhajat untuk memaklumkan tragedi tersebut kepada Nordianisa Sofia Mohd. Khairuddin, 6, dan adiknya, Noralisa Amara, 5, sebelum jenazah arwah ibu mereka, Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, tiba di rumah di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor di sini esok.

Katanya, kedua-dua anak saudara yang dijaga olehnya daripada kecil itu akan menghubungi ibu mereka menerusi panggilan video setiap pagi sebelum keluar ke sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka ada meminta untuk bercakap dengan arwah semalam, tetapi saya tidak layan permintaan dua beradik itu dengan memberi alasan bahawa ibu sedang sibuk bekerja.

“Kali terakhir mereka berdua bertemu mata dengan arwah pada Isnin lalu ketika Norhazwani pulang ke kampung selama seminggu bermula 5 Oktober untuk menguruskan perbicaraan kes perceraian dengan suaminya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Norhazwani yang bertugas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai dibunuh oleh suaminya yang berusia dalam lingkungan 30-an sebelum lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor.

Marliza memberitahu, dia terkejut selepas mendapat berita mengenai Norhazwani yang merupakan adik bongsu daripada sembilan beradik dibunuh selepas tiga hari pulang dari kampung.

Katanya, arwah sebelum ini turut memaklumkan dia berdoa supaya perceraian dengan suaminya dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Allahyarham Norhazwani membuat tuntutan fasakh terhadap suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di Mahkamah Syariah Tumpat dan perbicaraan kes tersebut sudah dua kali berjalan.

“Arwah tidak pernah menceritakan masalah rumah tangganya. Saya hanya tahu apabila dia memaklumkan bahawa akan bercerai dengan suaminya.

“Saya akan jaga kedua-dua anak arwah kerana mereka sangat rapat dengan saya. Selepas arwah habis tempoh berpantang apabila melahirkan Noralisa, saya terus menjaganya. Kakaknya pula saya jaga ketika berusia dua tahun,” katanya.

Sementara itu, abang kepada arwah, Mohd. Hazwan, 38, berkata, sehari sebelum kejadian, dia bermalam di rumah adiknya itu kerana ada urusan di Bangi, Selangor.

Katanya, dia keluar dari rumah arwah kira-kira pukul 10.30 pagi kelmarin dan adik iparnya yang merupakan suspek kes itu ada menghubunginya sebelum meminta agar menjadi saksi lafaz cerai menerusi telefon sebelum panggilan terputus.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Saya hubungi semula adik ipar saya dan dia memaklumkan bahawa isterinya sudah tiada, namun tidak memaklumkan bahawa dia sudah membunuh arwah Norhazwani. Suspek hanya beritahu dia sudah berada di IPD Sepang,” ujarnya.

Mohd. Hazwan berkata, jenazah Allahyarham Norhazwani dijangka dikebumikan di Tanah Perkuboran Islam Tanjong, Pengkalan Kubor di sini esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini